Rabies, Guan Eng wakili Kerajaan Negeri ucap takziah

Admin

AIR ITAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menzahirkan rasa sedih beliau di atas kejadian yang meragut nyawa pasangan adik-beradik akibat wabak anjing gila atau rabies di daerah Serian, Sarawak 4 Julai lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan takziah kepada keluarga terlibat atas ujian yang menimpa.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang faham akan usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan berharap perkara tersebut dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat.

“Kita (Kerajaan Negeri) faham akan usaha-usaha yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam menangani isu ini, dan berharap ianya dapat diselesaikan dalam masa paling singkat.

“Ia merupakan satu ancaman penyakit serius, sama seperti yang berlaku di Pulau Pinang suatu masa dahulu, yang mana Kerajaan Negeri terpaksa mengambil tindakan tegas demi menjaga keselamatan orang awam.

“Pada masa itu, kita (Kerajaan Negeri) bersyukur kerana tidak sampai sebulan selepas tindakan diambil, perkara tersebut telah selesai tanpa ada mana-mana mangsa yang dijangkiti meninggal dunia,” ujarnya pada sidang media selepas majlis pembukaan Jalan Empangan Air Itam yang baru siap dinaik taraf di sini baru-baru ini.

Turut serta, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam) dan Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera).

Pada 4 Julai lalu, dua daripada tiga mangsa yang dijangkiti virus rabies telah disahkan meninggal dunia.

Pasangan adik-beradik perempuan berusia 6 tahun dan lelaki 4 tahun masing-masingnya berasal dari Kampung Paon, Sungai Rimau, Serian. Manakala, seorang lagi mangsa dipercayai masih mendapat rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Tambah Guan Eng, apabila membabitkan keselamatan orang awam, Kerajaan Negeri kadang-kala perlu mengambil tindakan tidak ‘popular’ atau bersesuaian agar rakyat akan merasa selamat.

“Kita harap rakyat Pulau Pinang akan faham sebarang tindakan yang diambil… dan sudah tentulah sebagai Kerajaan Negeri, kita (Pulau Pinang) faham akan tindakan yang diambil oleh negeri-negeri lain apabila sesuatu wabak berlaku,” jelasnya.