GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negara telah mengeluarkan garis panduan melalui Protokol Veterinar Malaysia (PVM) tentang wabak penyakit anjing gila atau rabies dalam usaha membendung penularannya.
Menurut Pengarah Perkhidmatan DVS Pulau Pinang (DVSPP), Dr. Siti Salmiyah Tahir, salah satu strategi pencegahan rabies yang berkesan ketika keadaan wabak (krisis) sedang menular adalah melalui pemusnahan dan pelupusan.
“Sekiranya seekor anjing yang tidak bertuan dan tidak dikawal ini dijangkiti rabies, sebelum mati, iaitu dalam tempoh kira-kira 14 hari, anjing tersebut akan mula menggigit, tidak kira sama ada ia menggigit anjing lain ataupun haiwan lain yang bergerak di sekelilingnya, ia perlu menggigit untuk mendapatkan ‘perumah’ yang baharu.
“Risikonya terlalu tinggi. Atas dasar itulah, kami (DVSPP) berdiri teguh dengan apa yang telah kita wartakan dan melakukan pemusnahan 100 peratus melalui penakaian (culling) demi keselamatan dan kesihatan rakyat Pulau Pinang.
“Kita tidak mahu sehingga ada manusia yang terbunuh gara-gara tidak melaksanakan langkah-langkah pengawalan wabak rabies ini. Antara manusia dan anjing, kita utamakan manusia, fikirkan tentang trauma dialami mereka yang digigit,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Sidang media tersebut diadakan bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Penguatkuasa DVS Malaysia, Datuk Mohamad Radzuan Malik dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Datuk Dr. Zailan Adnan.
Mengulas lanjut, Mohamad Radzuan memberitahu bahawa, pihaknya akan ‘memusnahkan’ anjing yang berkeliaran dan dilepaskan bebas.
“Pada tahap ini, risiko jangkitan kepada manusia sentiasa ada kerana apabila anjing-anjing yang bertuan ini tidak dikawal atau dikurung, berkemungkinan ia akan digigit oleh anjing liar, dan pemiliknya adalah individu yang terdekat untuk dijangkiti rabies.
“Oleh itu, pemilik–pemilik anjing wajar memastikan anjing mereka dikawal sepanjang masa. Mereka perlu memantau anjing peliharaan masing-masing dan perlu melaporkan kepada DVS sekiranya ada perubahan tingkahlaku haiwan peliharaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Zailan menjelaskan bahawa sehingga 21 September lalu, sejumlah 41 kes gigitan anjing dilaporkan melibatkan orang awam dan pemilik anjing.
“Jika kita lihat statistik, tidak sampai 24 jam, 15 kes gigitan anjing dicatatkan iaitu dengan 26 kes gigitan dilaporkan pada 20 September meningkat kepada 41 kes gigitan pada hari berikutnya.
“Jumlah kes ini menunjukkan peningkatan mendadak membabitkan gigitan anjing dan perlu diingatkan juga, bukan semua anjing yang menggigit terutama anjing liar dapat ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujar beliau.