Pelihara perpaduan demi bina sebuah negeri maju & pintar – KM

GEORGE TOWN – Kemajuan dan kegemilangan dicapai Pulau Pinang kini adalah hasil berkat penyatuan kepelbagaian kaum, agama dan adat resam rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya sempena Majlis Penganugerahan Darjah- Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Beliau menyeru semua pihak terutama rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama memelihara semangat perpaduan demi membina sebuah negeri yang maju, pintar dan bertaraf antarabangsa.

“Kita perlu terus bersatu padu, berganding bahu, bermuafakat dan bekerjasama dalam mengekalkan keharmonian, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini di bawah naungan Yang diPertua Negeri (TYT).

“Kita juga bersyukur kerana berkat naungan Yang diPertua Negeri (TYT) sebagai lambang perpaduan, rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini sentiasa hidup dengan sejahtera dan muhibah,” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir menyempurnakan majlis penganugerahan ialah TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bersama-sama isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri, Datin Seri Hamidah Mat Daud serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Seramai 1,275 penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan negeri disenarai dalam istiadat istimewa sempena sambutan ulang tahun kelahiran Abdul Rahman yang ke-77.

Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika menyampaikan perutusannya turut menyatakan bahawa Pulau Pinang perlu mengikut acuan dan identitinya tersendiri dengan berteraskan modal insan serta perpaduan antara kaum demi mencapai kemajuan.

}