Rakan Taman pertama dilancar peringkat negeri, harap semangat kesukarelawan komuniti setempat mampu jadikan taman kejiranan lebih terpelihara

Admin

AIR ITAM – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bharu hari ini mengambil inisiatif pertama di peringkat negeri dengan mewujudkan Rakan Taman untuk melaksanakan kerja-kerja sukarelawan bagi menjaga, memelihara dan menyelenggara kemudahan awam di taman kawasan berkenaan.

Pelancarannya disempurnakan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Menurut Hon Wai, Rakan Taman adalah sebuah organisasi kesukarelawan bagi menggalakkan masyarakat melakukan kerja-kerja kesukarelawan seperti menjaga dan memelihara kawasan taman kejiranan mereka.

“Ia adalah Rakan Taman pertama yang diwujudkan di Pulau Pinang.

“Saya percaya dengan semangat kesukarelawan dalam kalangan komuniti setempat mampu menjadikan taman kejiranan sekitar kawasan ini lebih terjaga dan terpelihara,” ujarnya pada majlis berkenaan pagi ini.

Serentak itu, turut dilancarkan program pengasingan sisa di punca bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih.

Hadir sama Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohamed Akbar Mustapha yang mewakili Datuk Bandar MBPP.

Mohamed Akbar ketika berucap memberitahu bahawa inisiatif hijau itu selaras dengan seruan Jabatan Landskap Negara terhadap  pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan Rakan Taman dalam menjaga dan memelihara kawasan kejiranan masing-masing.

“Jabatan Landskap Negara menggalakkan PBT menjalinkan kerjasama erat dengan Rakan Taman untuk memastikan kawasan kejiranan berada dalam keadaan bersih dan indah melalui landskap yang sentiasa terpelihara dan mampan.

“Rakan Taman ini berperanan membantu pihak Majlis dalam menjaga, memelihara dan menyelenggara kawasan taman melalui sumbangan tenaga, input mahupun peralatan secara sukarela oleh komuniti setempat.

“Pelaksanaan ini juga mendorong kepada penjanaan pendapatan seperti pelaksanaan kebun komuniti dan program kitar semula sisa kebun untuk dijadikan baja kompos,” jelas beliau.