Kerajaan fokus kepada Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara, bakal jadi platform untuk usahawan e-dagang – EXCO

Admin

PULAU BETONG – Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu bahawa Kerajaan  Pusat kini memfokuskan kepada penyediaan Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang bakal menjadi platform untuk usahawan menjadi sebahagian daripada rantaian perdagangan dunia.

Jelasnya dengan adanya pelan NFCP ini, lebih ramai pengusaha PKS dapat menceburi bidang perniagaan menerusi e-Dagang selaras perkembangan terkini Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan teknologi digital menjelang 2023 dengan kelajuan  minimum internet pada kadar 30 Mbps (megabait sesaat).

“Sudah sampai masanya produk-produk koperasi diketengahkan kepada pasaran terbuka agar ianya mampu menembusi pasaran ekonomi digital 4.0.

“Justeru, usahawan dan koperasi bumiputera harus merebut peluang dan celik akan manfaat yang cuba diwujudkan oleh kerajaan dalam merubah landskap e-Dagang dan transaksi dalam talian pada masa kini,” ucapnya semasa merasmikan program Program Pasar Co-op Pulau Pinang dekat Perkarangan Masjid Titi Teras Balik Pulau pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan “Pasar CO-OP” Pulau Pinang sebelum ini yang menawarkan barangan berkualiti dengan harga yang lebih murah daripada pasaran di kawasan-kawasan tumpuan secara berperingkat.

Menerusi program ini, sinergi pelbagai pihak dilihat dapat mewujudkan keadaan seimbang di antara kerjasama koperasi-koperasi dan komuniti kariah yang terlibat dan ianya kena dengan persiapan umat Islam di ambang bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba

Difahamkan, Program Pasar Co-op Pulau Pinang pada kali ini melibatkan kolaborasi bersama di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, SKM, MPKK Kawasan Parlimen Balik Pulau dan Jawatankuasa Kariah Masjid Titi Teras.

Orang ramai boleh mengunjungi gerai-gerai yang disediakan serta memeriahkan lagi Program Pasar Co-op Pulau Pinang yang akan berlangsung selama dua hari bertempat di Perkarangan Masjid Titi Teras Balik Pulau ini.

Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN