GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Tpj. Y.S. Karunanithy di sini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Operasi) KPKPj Mustafa Kamal Ahmad; Timbalan Pengarah (Pencegahan), PKPj Chin Chen Huat; Pegawai Siasatan, Muhamad Shawal Rizal Saidin serta Penolong Pegawai Siasatan, Mazlan Haja Maideen.

Dalam pertemuan berkaitan, Karunanithy menzahirkan komitmen untuk terus menabur bakti di negeri ini dengan merangka gerak kerja dan perancangan masa depan yang lebih relevan berdasarkan keperluan semasa.
Selain itu, perbincangan juga menjurus pada isu-isu berkaitan garis panduan perolehan, pencukaian, Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram serta cabaran yang timbul akibat spekulasi maklumat dan kuasa viral di media sosial.
Turut dibangkitkan adalah berkaitan struktur pentadbiran dan tanggungjawab kerajaan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan serta pertumbuhan ekonomi semasa.
Sebagai rekod, Karunanithy dilantik secara rasmi sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang baharu pada 15 Ogos lalu, menggantikan Datuk Mohd. Fuad Bee Basrah yang kini mengetuai SPRM Sabah.
Anak jati Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan itu sebelum ini menerajui SPRM Sabah sejak 2019.
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI