GEORGE TOWN– Rapid Bus Sdn. Bhd. memperluas perkhidmatan Rapid On Demand (ROD) ke kawasan Bayan Baru dan Bayan Lepas sebagai usaha memperkukuh jaringan pengangkutan awam.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Ku Jamil Zakaria, sambutan awal terhadap inisiatif ROD di Pulau Pinang menunjukkan respons yang positif dan berpotensi.
“Daripada 50 van yang disediakan di seluruh negeri, tujuh daripadanya kini memberikan perkhidmatan di kawasan Bayan Baru (tiga) dan Bayan Lepas (empat).
“Kita telah capai sekitar purata 2,500 penumpang sehari di seluruh kawasan ROD, malah pernah ada hari kita berjaya cecah hingga 3,500 pengguna sehari,” ujarnya dalam satu sidang media Majlis Pelancaran ROD Kawasan Bayan Baru dan Bayan Lepas di dekat Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru di sini petang tadi.

Tambahnya, ROD Bayan Baru dan Bayan Lepas yang sudah beroperasi sejak hujung April lalu mempunyai 13 zon aktif atau menjadi pilihan pengguna.
Ku Jamil dalam pada itu memaklumkan bahawa sambutan diterima juga memberangsangkan, dengan purata 100–110 penumpang sehari bagi kedua-dua kawasan baharu itu dan dijangka terus meningkat.
“Kawasan ini mempunyai potensi besar untuk pengembangan perkhidmatan. Penduduk mula melihat manfaat sistem ini, terutamanya dengan waktu operasi 6 pagi hingga 11 malam dan liputan ke kawasan yang bas tidak masuk serta kawasan tumpuan (points of interest),” tambahnya kepada pemberita.

Sementara Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, turut memuji usaha ini sebagai satu inisiatif penting ke arah pengangkutan awam lebih inklusif.
“Yang lebih penting ia adalah percuma, orang ramai cuma perlu membuat Pas Mutiara My50 yang mana telah diberi subsidi oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan, muat turun aplikasi Kummute (ROD), naik bas Rapid dan ROD percuma.
“Ini antara peranan penting yang boleh dimainkan oleh rakyat dalam menangani kesesakan lalu lintas terutamanya di kawasan Bayan Baru dengan menggunakan perkhidmatan ROD.

“Tahun ini projek-projek besar seperti naik taraf lapangan terbang dan pembinaan transit aliran ringan (LRT) yang pasti memberi kesan kepada trafik.
“Saya menyeru penduduk Bayan Baru untuk jadi sebahagian daripada penyelesaian apabila menggunakan pengangkutan awam,” katanya lagi.

Setakat ini juga terdapat lebih 250 perhentian (drop point) di kawasan Parlimen Bayan Baru, termasuk kilang, pasar, pasar raya, institusi pendidikan dan lain-lain.
Difahamkan bagi yang tidak mempunyai Pas Mutiara My50 pula, RM1 akan dikenakan sebagai harga promosi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD