Rebut 40 hadiah menarik promosi bayar cukai pintu MPSP

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menawarkan lebih 40 hadiah menarik kepada pembayar cukai pintu yang membayar keseluruhan cukai tahunan sempena promosi bayaran cukai pintu tahun 2016.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis MPSP di sini baru-baru ini.

Maimunah memberitahu, inisiatif promosi bayaran cukai pintu adalah bagi menggalakkan pembayar cukai membayar cukai mengikut masa ditetapkan sekaligus meningkatkan hasil melalui cukai pintu.

“Di Seberang Perai sahaja, kita (MPSP) mempunyai 317,523 pegangan termasuk rumah-rumah kediaman, kedai dan industri.

“Para pemilik hanya perlu membayar keseluruhan cukai setahun 2016 berserta tunggakan sekiranya ada, sama ada di semua kaunter MPSP atau melalui agenagen sah yang dilantik oleh MPSP.

“Selain itu, bayaran juga boleh dibuat melalui laman web MPSP bermula 15 November sehingga 31 Disember ini,” jelas beliau.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud dan barisan Ahli Majlis MPSP.

Mengulas lanjut, Maimunah menyatakan bahawa bilangan pembayar cukai yang layak menyertai promosi tersebut meningkat saban tahun.

“Sebagai penghargaan, MPSP akan memberi dua buku kupon letak kereta (kupon jam) sebagai cenderahati kepada pembayar cukai yang layak dan terawal memandangkan stok kupon percuma ini adalah terhad.

“Bagi promosi kali ini juga, MPSP memperkenalkan satu lagi kategori baharu bagi mereka yang membuat pembayaran melalui atas talian (online) dalam tempoh yang ditetapkan.

“ Mereka yang bertuah akan memenangi sebuah unit telefon pintar jenama Samsung Galaxy A5 dan kita (MPSP) juga menawarkan lima unit kepada lima pembayar cukai bertuah,” ujarnya.

Hadiah lain yang ditawarkan untuk cabutan bertuah, Mountain Bike Venzo Viper 29, Airwheel X8 Carbon Fibre, Mountain Bike Java Saetta, iPad Air WiFi 16GB, Mountain Bike KAR-Gero QZ60, televisyen Panasonic LED 43’’ dan komputer Acer Aspire. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web MPSP di www.mpsp.gov.my atau hubungi talian 04 – 549 7470 / 471 / 697 / 696 atau emel ke, waran@mpsp. gov.my