GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta satu lagi kejayaan membanggakan dalam bidang sains air apabila menerima tiga pengiktirafan berprestij sempena ulang tahun ke-50 Program Hidrologi Antara Kerajaan (IHP) dan ulang tahun ke-60 Sains Air UNESCO yang berlangsung pada 11 hingga 13 Jun lalu di Ibu Pejabat UNESCO dekat Paris.
Acara yang menghimpunkan para pemimpin dunia dalam bidang hidrologi dan kelestraian alam sekitar telah mengetengahkan sumbangan cemerlang USM dalam pengurusan air secara mampan menerusi Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC).
USM telah dianugerahkan plak peringatan sebagai penghargaan di atas peranannya yang signifikan selaku kursi Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang Ecohydraulics for Sustainable Water Infrastructures for SDG 6 in Asia and the Pacific.
Ditubuhkan pada 2020 di bawah Program UNITWIN/UNESCO Chairs, Kursi tersebut berperanan sebagai hab serantau dalam mempromosikan penyelesaian mampan berasaskan air selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6: Air Bersih dan Sanitasi.
Mandat Kursi tersebut telah diperbaharui sehingga 31 Disember 2028, sekali gus memperkukuh komitmen USM dalam memajukan pendidikan air, penyelidikan saintifik, serta kerjasama serantau dalam bidang berkenaan.
Dipimpin oleh Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria, kursi UNESCO ini mengintegrasikan penyelidikan ecohydraulics dengan pendekatan penyelesaian berasaskan sains untuk menangani cabaran global berkaitan air.
Malah, bagi memperkukuh lagi kepimpinan, Pengarah REDAC, Ir. Dr. Chang Chun Kiat telah dilantik sebagai Kursi Bersama UNESCO (Co-chairholder) dan kini secara rasmi tersenarai di bawah Kursi UNESCO dan Rangkaian UNITWIN.
Kepakaran beliau dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan infrastruktur air mampan dijangka memperluaskan impak penyelidikan USM di rantau Asia Pasifik.




Sistem inovatif yang dibangunkan USM telah meningkatkan kualiti air, menggalakkan biodiversiti dan meningkatkan daya tahan ekosistem, sekali gus menjadi model yang boleh diteladani dalam pengurusan air bandar di peringkat global.
Selain itu, ia menepati sepenuhnya garis panduan Manual Pengurusan Saliran Bandar (MSMA) Malaysia dan berperanan sebagai contoh nasional bagi sistem saliran bandar mampan (SUDS) dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (NbS).
Justeru, USM merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia serta Pusat Iklim Tropika Lembap Kuala Lumpur (HTC-KL) atas sokongan padu dalam pencapaian tersebut.
Lanjutan itu, pada 4 Julai 2025 USM telah menerima Anugerah Penyelidikan Ecohydrology sempena sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan di Kuantan, Pahang sebagai penghargaan atas kejayaan tersebut.
Dalam menyokong kecemerlangan akademik USM, dua program pengajian pascasiswazah di bawah REDAC telah menerima Label UNESCO–IAHR, iaitu:
- Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sungai dan Saliran Bandar
- Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Pengurusan Sungai dan Saliran Bandar
Pengiktirafan yang diterima USM membuktikan kecemerlangan akademik Ijazah tinggi serta komitmen universiti dalam melahirkan tenaga pakar profesional bagi menangani cabaran berkaitan air.
Program yang ditawarkan melalui REDAC merangkumi bidang penting seperti pengurusan sungai, saliran bandar, hidroinformatik dan hidraulik alam sekitar. Ianya terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.
REDAC USM juga menjalinkan kerjasama erat dengan UNESCO dalam membentuk dasar, pendidikan dan latihan berkaitan air di rantau Asia Tenggara.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja mengangkat kedudukan USM di persada antarabangsa, malah mengukuhkan lagi misinya dalam memperjuangkan pengurusan air mampan menerusi penyelidikan, pendidikan dan inovasi demi generasi akan datang.
USM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Program Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICoE) atas sokongan berterusan yang menjadi instrument untuk REDAC terus memainkan peranan penting dalam kejayaan berterusan dan impak global dalam memajukan pengurusan air bandar mapan.
Gambar : USM