GEORGE TOWN – Bagi tempoh tahun 2023 hingga 2024, sebanyak 192 tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran telah dikenal pasti di negeri ini dengan 43 adalah membabitkan kawasan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (149, MBPP).
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa selepas pengemaskinian data dan pemantauan berterusan dijalankan, jumlah tapak binaan RIBI (tanpa kebenaran) telah menunjukkan penurunan yang mana setakat Mei 2025, jumlah di bawah seliaan MBPP telah menurun kepada 115, manakala MBSP (21).
“Ini menunjukkan bahawa usaha pemantauan dan pengemaskinian data yang dilaksanakan telah memberikan kesan positif ke arah penyelesaian isu ini.
“Malah, Kerajaan Negeri akan lebih kerap mengadakan sesi libat urus bersama setiap pihak persatuan RIBI bagi menerangkan tentang pentingnya mengemukakan permohonan rasmi sebelum membina sebarang struktur binaan,” jelasnya semasa menjawab sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 20 Mei 2025.
Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri giat menggembleng usaha dalam memastikan pematuhan setiap binaan RIBI.
“Salah satu pendekatan awal Kerajaan Negeri adalah melalui kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menggalakkan setiap RIBI mendaftar
maklumat terperinci bagi tujuan rekod rasmi kewujudan (setiap RIBI).
“Kemudian, proses seterusnya adalah dengan mewujudkan dasar jelas bagi sebarang pembinaan atau ubah suai RIBI yang diwajibkan untuk memohon Kebenaran Merancang dan pengesahan pelan bangunan melalui One-Stop Centre (OSC) negeri.
“Hal ini adalah bagi memastikan reka bentuk, struktur dan lokasi bangunan mematuhi Undang‑Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) serta pelan guna tanah yang diluluskan,” jelasnya bagi menjawab Soalan Lisan ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah bin Abdul Hashim.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT & AHMAD ADIL MUHAMAD