Rempah cedok ‘legend’ Shahul Hameed bertahan tiga generasi

img 20260115 wa0082

KEUNIKAN rasa masakan tradisional sering bermula daripada ramuan rempah-ratus yang berkualiti dan diadun dengan penuh teliti bagi menghasilkan rasa yang enam serta aroma yang menyelerakan.

Bagi penggemar masakan berempah, khususnya untuk majlis kenduri dan keraian, nama Kedai Rempah Shahul Hameed yang terletak di Jalan Perak dekat Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) bukanlah sesuatu yang asing.

Perniagaan keluarga ini telah bertahan lebih 70 tahun dan kini diteruskan oleh generasi ketiga, sekali gus membuktikan kekuatan warisan dan kepercayaan pelanggan yang tidak pernah pudar.

img 20260115 wa0065

Pemiliknya, SHAHUL HAMEED SITHEEK MOHAMED, bapa kepada dua orang cahaya mata bersama-sama adiknya, Sheik Dawood Sitheek Mohamed mengambil keputusan meneruskan legasi perniagaan yang diasaskan oleh arwah datuknya.

Menurut Shahul Hameed, pada peringkat awal, datuknya hanya menjual rempah-ratus asas sahaja seperti kari ayam, daging dan ikan.

img 20260115 wa0080img 20260115 wa0081img 20260115 wa0058

Namun sejajar dengan perubahan selera dan keperluan pelanggan, beliau berkata perniagaan itu kini berkembang dengan menawarkan kira-kira 40 jenis rempah cedok yang kebanyakannya dibawa khas dari India.

“Kekuatan utama perniagaan kami adalah terletak pada perkhidmatan campuran rempah yang lengkap mengikut permintaan pelanggan.

“Pelanggan hanya perlu memaklumkan jenis masakan serta kuantiti yang ingin dimasak, dan pihak kami akan menyediakan set rempah serta bahan tambahan yang lengkap seperti yang dimahukan oleh mereka.

“Sebagai contoh, bagi juadah daging masak hitam, pelanggan akan menerima campuran rempah berserta bahan tumis, kicap cair, kicap pekat, gula merah, sos cili dan lain-lain bahan berkaitan.

“Campuran yang kami sediakan ini membolehkan pelanggan terus memasak masakan yang mereka mahukan tanpa perlu mencari bahan tambahan lain lagi.

“Menariknya, tahap kepedasan juga boleh disesuaikan mengikut cita rasa pelanggan tanpa mengubah rasa asli sesuatu masakan.

img 20260115 wa0054
Shahul Hameed Sitheek Mohamed (kanan) dan adiknya, Sheik Dawood kini mengurukan perniagaan warisan tiga generasi.

“Fleksibiliti ini mungkin menjadikan kedai kami sebagai pilihan utama pelanggan, bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah untuk penyediaan makanan dalam kuantiti besar sempena majlis kenduri,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui di premis perniagaannya dekat sini pada 15 Januari 2026img 20260115 wa0067.

 

Selain rempah-ratus, Shahul Hameed memaklumkan bahawa premisnya turut menawarkan pelbagai keperluan masakan seperti bawang, beras basmathi, kekacang, tepung, minyak sapi, susu cair, air mawar, perapan kambing bakar, ayam madu, papadom berempah, biji selasih dan banyak lagi.

“Malah, set lengkap untuk menyediakan hidangan seperti nasi beriani, nasi Arab, nasi kandar dan nasi minyak turut disediakan di sini.

“Pelanggan hanya perlu nyatakan kuantiti yang ingin dimasak dan kami akan sediakan rempah lengkap untuk masakan mereka,” katanya.

img 20260115 wa0078
Shahul Hameed menunjukkan papadom berempah yang diimport dari India.

Menurut Shahul Hameed, rahsia kejayaan perniagaan Rempah Shahul Hameed sehingga mampu bertahan lebih tujuh dekad adalah terletak pada pelanggan tetapyang telah mengenali produk mereka sejak zaman arwah datuk dan ayahnya lagi.

“Sokongan pelanggan dari pelbagai negeri seperti Johor, Kelantan, Perak, Kuala Lumpur dan lain-lain menjadi nadi utama kepada kelangsungan perniagaan ini.

“Setiap hari, ratusan pelanggan berkunjung ke kedai ini, khususnya pada musim cuti persekolahan kerana banyak majlis kenduri diadakan.

“Permintaan turut meningkat dengan ketara menjelang bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri dan Aidiladha,” jelasnya.
Tambah beliau, semua campuran rempah-ratus masih menggunakan sukatan dan resipi asli arwah ayahnya yang kekal digemari sehingga kini, selain beberapa resipi baharu hasil inovasi sendiri.

“Rempah-ratus dijual dalam pelbagai kuantiti mengikut kehendak pelanggan, dengan harga serendah RM3, menjadikan produk yang dijual di sini mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Dalam menghadapi persaingan dunia perniagaan yang semakin mencabar, Shahul Hameed berkata beliau sentiasa menitikberatkan layanan mesra dan hubungan baik dengan pelanggan.

“Kami percaya bahawa tanpa sokongan para pelanggan, perniagaan ini tidak mungkin bertahan sejauh ini,” katanya.

Menutup bicara, Shahul Hameed menyeru kepada sesiapa sahaja yang ingin menyediakan pelbagai jenis masakan berempah atau minuman tradisional seperti air serbat, Kedai Rempah Shahul Hameed merupakan destinasi sehenti yang menyediakan segala keperluan masakan dengan kualiti dan rasa yang terjamin.

Kedai Rempah Shahul Hameed beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang dan ditutup pada hari Ahad.