Ringan beban peniaga kecil, MBPP umum Pakej Rangsangan Ekonomi tambahan lebih RM4 juta

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini mengumumkan penambahan ke atas Pakej Rangsangan Ekonomi di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan membabitkan implikasi kewangan melebihi RM4 juta.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata bahawa bantuan tersebut adalah keprihatinan akan nasib rakyat dan peniaga kecil di kawasan pulau khususnya yang rata-rata terkesan dek pandemik COVID-19 yang semakin berlarutan.

Jelasnya, pengecualian akan diberikan kepada bayaran sewa dan lesen serta permit penganjuran.

“Pengecualian 50 peratus bayaran sewa dan lesen akan diberikan selama enam bulan untuk peniaga kecil di kompleks, tapak penjaja, penjaja statik sementara, penjaja atas tanah persendirian dan penjaja kendera saji (trak bergerak) selama enam bulan.

“Pengecualian ini membabitkan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM1,336,766.40.

“Manakala, pengecualian permit penganjuran selama 12 bulan melibatkan pasar malam, pasar pagi, pasar minggu dan pasar tani akan membabitkan implikasi dana sebanyak RM2,477,973.00.

“Implikasi kewangan ini tidak termasuk moratorium bagi bayaran Cukai Taksiran sehingga 31 Disember 2021,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang berlangsung sebentar tadi.

Mengulas lanjut terhadap inisiatif bantuan tersebut, Tung Seang memaklumkan bahawa MBPP juga telah membuka 601 gerai kosong di premis-premis milikan Majlis untuk permohonan penjaja tepi jalan yang tidak mempunyai lesen serta peniaga pasar malam.

“Inisiatif penempatan ini dapat memberi peluang kepada penjaja dan peniaga untuk menjalankan perniagaan di tempat yang selamat dan mudah dikawal selia bagi mengekang penularan COVID-19.

“Setakat ini, 33 peniaga pasar malam telah ditempat di gerai, manakala 43 penjaja tepi jalan tanpa lesen telah mengemukakan permohonan mereka.

“Setakat 26 Julai 2021, kita (MBPP) masih mempunyai 525 gerai kosong yang dibuka untuk permohonan bagi peniaga-peniaga kecil yang berminat,” maklum beliau.

Dalam perkembangan sama bagi membantu rakyat terjejas yang kehilangan pekerjaan, Tung Seang turut mengumumkan pembukaan 100 jawatan baharu bagi Pembantu Awam secara sambilan untuk tempoh enam bulan.

“Pandemik COVID-19 telah meninggalkan kesan negatif dan impak besar terhadap sosioekonomi, ramai yang terjejas pendapatan dan ada yang telah hilang sumber pendapatan.

“Justeru, MBPP amat prihatin dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang yang terjejas dalam dua core businesses iaitu pembersihan awam dan penghijauan (landskap).

“Ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang terjejas tetapi dapat meneruskan kesinambungan perkhidmatan Majlis,” tambah beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN