Risiko jangkitan, pekerja PBT dan golongan peniaga harus divaksin segera- Exco

Admin

SUNGAI BAKAP – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengulangi pendirian beliau bahawa golongan yang bertugas dan bekerja di lapangan sebagai sektor penting (essentials) harus divaksin segera.

Jagdeep berkata, golongan ini yang terdiri daripada petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga sangat terdedah kepada risiko jangkitan setiap hari.

Katanya, meskipun golongan ini bekerja dalam sektor penting tetapi masih ramai yang belum divaksin malah ada yang belum mendapat tarikh temujanji.

“Kita (Pulau Pinang) rayu kepada Kementerian berkaitan agar vaksin diberikan segera kepada golongan yang saya nyatakan ini, malah Kerajaan Negeri telah bersedia untuk membantu melancarkan pemberian vaksin ini.

“Mengikut rekod, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempunyai seramai 3,021 kakitangan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) seramai 4,010 dan daripada jumlah ini 1,639 kakitangan (MBPP) serta 440 kakitangan (MBSP) sahaja yang telahpun mendapat temujanji vaksin masing-masing, manakala bakinya belum mendapat apa-apa perkhabaran.

“(Untuk) golongan penjaja pula, terdapat 2,042 penjaja di kawasan pentadbiran MBPP dan 3, 316 penjaja (MBSP). Jumlah yang belum divaksin adalah lebih banyak dengan 1, 203 penjaja di bawah MBPP dan
2, 654 penjaja (MBSP).

“Justeru, saya berharap pihak Kerajaan Persekutuan dapat membekalkan vaksin secukupnya secepat mungkin,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Terdahulu, Jagdeep mengadakan lawatan ke lokasi ke-18 Pusat Program Penang Saring COVID-19 dekat Sungai Bakap di sini.

Hadir sama ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; Jason H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi); Gooh Chon Aik (ADUN Bukit Tambun) dan Dato’ Sr. Rozali Mohamud (Datuk Bandar MBSP).

Program PSC19 merupakan inisiatif khas Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mematahkan penularan pandemik COVID-19 dengan melaksanakan saringan besar-besaran ke atas komuniti secara percuma dengan mensasarkan 40,000 saringan di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

Mengulas lanjut, Rozali dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ekoran telah meningkatkan kadar pemberian vaksin kepada wira-wira oren MBSP.

“Terima kasih kepada JKNPP kerana sehingga semalam (30 Julai 2021) seramai 1,650 wira oren MBSP telah divaksin iaitu kira-kira 41 peratus.

“Wira-wira oren ini berhadapan dengan risiko saban hari ekoran mereka mengutip sampah dan membersihkan persekitaran Seberang Perai.

“Terdapat 98 kes jangkitan di MBSP membabitkan wira oren di mana 36 daripada masih positif, ini menyebabkan mereka tidak boleh bertugas dan menjejaskan tugasan di lapangan termasuk frekuensi pembersihan dan kutipan sampah.

“Kita memandang berat masalah ini, kerana apabila kakitangan tidak mencukupi untuk menjalankan tugas di lapangan, ini akan menjejaskan persekitaran serta kesejahteraan komuniti kerana apabila (persekitaran) tidak bersih akan menyebabkan denggi dan sebagainya,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : EXCO