Sokongan ahli Keluarga semasa PKP amat penting – Ketua Menteri

Admin
ANTARA yang menyertai Sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun ketiga yang dianjurkan secara maya pada pagi ini.

GEORGE TOWN – Bertemakan ‘Keluarga Bahagia, Masa Depan Cerah’, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merasmikan acara maya sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah masuk tahun ketiga penganjurannya kini.

KETUA Menteri dan Ong Bee Leng (kanan) dalam sesi telesidang dari KOMTAR pada pagi tadi.

Ketika berucap, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seharusnya menuntut semua ahli keluarga untuk menganjurkan aktiviti secara maya dan ‘indoor’ yang bersesuaian di mana-mana sahaja tanpa mengira had masa.

Menurut Kon Yeow, partisipasi sebegitu memainkan peranan penting demi memastikan semua pihak sejahtera semasa mengharungi pandemik ini.

“Sambutan Hari Keluarga dalam landskap normal baharu ini memberikan sedikit kelainan, namun mesejnya serta elemen penting masih tetap sama dan releven untuk dipraktikkan dalam tempoh ‘lockdown’.

“Kita tahu bahawa kita berada dalam tempoh yang agak mencabar dari segi perubatan dan kesihatan (awam), sosial, ekonomi serta aktiviti-aktiviti harian terjejas ekoran pelaksanaan PKP.

“Dan, kita (Kerajaan Negeri) tahu bahawa banyak keluarga terjejas punca pendapatan ataupun hilang pekerjaan.

“Dalam masa ini (iaitu PKP), sokongan daripada keluarga kepada individu-individu yang melalui cabaran ini adalah amat penting.

“(Justeru,) sebagai unit keluarga dalam masyarakat, kita memainkan peranan penting demi memastikan setiap ahli keluarga terlindung dalam pandemik ini sehingga setiap individu selamat,” jelasnya menerusi sesi telesidang dari Komtar di sini pada 31 Julai 2020.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut merakamkan penghargaan kepada sekalian rakan strategik serta penaja bagi acara kempen serta sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri pada kali ini.

Mereka, termasuk Lions Club of Penang Rising Star, The Penang Hill Habitat, Jenny Bakery Malaysia, Rain Ragazzo Sin Boon Kee Coffee factory, Chek Hup, Vircast Medic Sdn Bhd, Setia Kawan Kelapa Sawit, JEN Penang Georgetown, Courtyard by Marriot Penang, Gao Tea, The Southern Boutique Hotel, Chatto Georgetown, Safetyware Sdn. Bhd. dan Sunquick Malaysia.

CHONG Eng

Sebelum itu, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berharap setiap ahli keluarga terus menyemarakkan hubungan saling kasih sayang.

“Rumah merupakan tempat kita menjaga keluarga dan anak serta warga tua yang kita sayangi.

“(Sementara, sambutan) Hari Keluarga pula adalah untuk mengingatkan semua orang bahawa kita tidak akan mengabaikan tugas (sebagai anggota) keluarga kita,” ujar ADUN Padang Lalang berkenaan.

Turut serta, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbandanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

ACARA gimik perasmian sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Serentak pada acara sama, Kon Yeow diiringi Chong Eng dan Bee Leng turut menyempurnakan gimik sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri Pulau Pinang yang akan berlangsung selama sebulan, dengan menurunkan tandatangan di atas baju-t eksklusif daripada penganjur iaitu PWDC.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN