SEJAK dua bulan lepas, River Park @Autocity Juru memulakan perkhidmatan bot pelancongan untuk pengunjung domestik dan pengembara antarabangsa menelusuri hilir Sungai Juru sepanjang 12 kilometer (km) hingga ke perairan terbuka negeri dan patah balik ke jeti.
Perkhidmatan bot pelancongan ini dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad sahaja, untuk tiga waktu khusus iaitu 10.30 pagi, 1.30 petang dan 4.30 petang.
Untuk warganegara dewasa bayaran sebanyak RM48 seorang dikenakan, sementara RM38 untuk kanak-kanak dan warga emas. Bukan warganegara pula, harga tiket dewasa RM68 seorang dan RM58 (bagi kanak-kanak dan warga emas).
Pelayaran santai diluncurkan apabila cukup 12 penumpang dengan kapasiti maksimum bot adalah 20 orang.
Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi Encik Rizal menerusi talian 016-559 6458.


Pengasas dan Pengurus Besar Autocity, GARY TEOH KIANG-HONG memberitahu bahawa River Park @Autocity Sungai Juru secara rasminya dibuka pada 20 April 2024.
“Ada tiga objektif sebenarnya di sebalik projek River Park @Autocity Juru iaitu mentransformasikan Sungai Juru termasuk tebing sungainya serta Bukit Juru menjadi destinasi ekopelancongan serantau.
“Objektif kedua, menghidupkan semula kawasan ‘paru-paru hijau’ di tengah-tengah pembangunan bandar yang merangkumi kawasan perindustrian, komersial dan perumahan.
“Objektif ketiga dan terakhir adalah meningkatkan taraf hidup nelayan tempatan, belia kampung dan golongan wanita.
“Justeru, dengan menjadikan River Park @Autocity dekat Sungai Juru sebagai satu lagi produk ekopelancongan di bahagian Seberang Perai, sekali gus akan melengkapkan daya tarikan pelancongan ke negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu ramah bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB serta dua jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR dan SIEW CHIA EN di pusat komerial Autocity Juru di sini pada 8 Ogos 2025.


Sebelum itu, Kiang-Hong sendiri menyertai pelayaran santai bersama-sama para pengamal media Buletin Mutiara serta delegasi Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Turut serta, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee; dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Rachel Teh Chuann Yien.
Sepanjang pelayaran santai pergi balik sejauh 12km di hilir Sungai Juru yang terkepung dek hutan paya bakau serta pokok berembang, pengunjung berpeluang menikmati sekurang-kurangnya enam habitat liar rimba.
Antaranya habitat burung (termasuk burung hijrah); mamalia (seperti langur atau lotong), pelbagai serangga; reptilia dan amfibia (seperti buaya, biawak dan katak hutan); ikan, kerang, udang, ketam dan belangkas; dan pokok rimba laut (termasuk paya bakau dan pohon berembang).
“Jadi, mereka yang menyertai pelayaran santai bukan duduk di atas bot semata-mata, akan ada aktiviti lain yang mungkin menjadi pengalaman baharu mereka, antaranya mencerap burung hijrah, mandi rimba, menangkap ikan dengan menggunakan jala atau mengauk kerang dengan menggunakan jaring atau sangkar keras serta menikmati laut yang terbentang luas (di hilir Sungai Juru),” jelasnya lagi sambil menganggap semua aktiviti tersebut sebagai elemen pendidikan pelancongan alam semula jadi secara riang.




Kata Kiang-Hong lagi, Autocity tidak mungkin dapat meremajakan hilir Sungai Juru sebagai produk ekopelancongan baharu negeri, sekiranya tidak mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri hari ini serta beberapa rakan strategik lain.
“Auto-City Group hanya mengetuai projek (River Park @Autocity) ini, dengan kerjasama MBSP selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), Think City Sdn. Bhd. (Think City), Penang Global Tourism, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Persatuan Pencinta Alam Malaysia, WonderWorks dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain,” jelasnya lagi.
Tidak dilupakan, tambah Kiang-Hong adalah peranan yang dimainkan oleh enam pasukan penyelidikan yang telahpun menjalankan kajian lapangan dan penyelidikan berkaitan enam habitat yang wujud di sekitar kawasan ekopelancongan River Park @Autocity Juru, sebelum ini.
“Penyelidik dan pakar dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (NGO), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sains Malaysia (USM) melakukan tinjauan serta kajian dengan memberi tumpuan pada spesis dan populasi (yang terdapat di sekitar lembangan Sungai Juru); penilaian keadaan habitat; serta cadangan berkaitan kaedah pelindungan, pemuliharaan dan penambahbaikan habitat.
“Tinjauan dan kajian ini mengambil masa berbulan-bulan dan telah siap pada Mac 2025, yang mana Think City telah menyokong kajian ini.
“Kita (Auto-City Group) berhasrat menjadikan River Park @Autocity di sini bukan hanya destinasi ekopelancongan, malah kaya dengan elemen ‘edutainment’ (pendidikan dan hiburan).
“Kita memang berhasrat membangunkan program pendidikan dan hiburan, klip video serta lawatan ke habitat dan hidupan liar untuk dinikmati oleh para pengunjung yang singgah di River Park @Autocity Juru,” tambahnya lagi.
Difahamkan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebelum ini telah meningkatkan peruntukan khusus untuk pembersihan Sungai Juru kepada RM2.293 juta (tahun 2024) – dengan peningkatan kira-kira 24.7 peratus – berbanding RM1.725 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Soon Lee memberitahu bahawa JPS senantiasa melihat Sungai Juru sebagai lembangan sungai yang unik kerana dari hilir sungai dekat Bukit Mertajam melalui kawasan penempatan, perindustrian dan komersial.
“Justeru, pengurusan Sungai (Juru) mesti melibatkan semua pihak, baik dari segi perancangan bandar, kebersihan, mengutip sampah dari muara.
“Jadi, peranan JPS negeri adalah dari segi pengurusan banjir (yang mana) kalau sungai tidak diurus akan mengakibatkan banjir.
“JPS juga menjaga kualiti air sungai (yang mana) Indeks Kualiti Air (IKA) Sungai Juru ini kalau boleh dipulihkan ke tahap lebih baik (untuk semua habitat).
“Oleh itu, JPS senantiasa memberi ulasan teknikal bagi sebarang perancangan pembangunan supaya kemampanan sungai itu dipelihara sepanjang masa.
“Setiap tahun, memang ada peruntukan khusus untuk JPS melakukan kerja-kerja menyelenggara dan membangunkan projek ‘Sungai Untuk Kehidupan’, seperti di Sungai Juru ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Chuann Yien yang juga Presiden Pertubuhan Penggerak Kerja Pulau Pinang (WonderWorks) pula berkata sehingga kini NGO beliau telah melakukan dua kali program pembersihan dalam skala besar di hilir Sungai Juru.
“Hasil kerja-kerja pembersihan sungai, ada sedikit kebimbangan apabila (beratan) kutipan sampah di Sungai Juru daripada 250 kilogram (kg) pada Disember tahun lalu, telah meningkat kepada 788kg pada Mei 2025.
“Pemeriksaan fizikal terhadap sisa yang dikumpulkan mendapati ia terdiri daripada sisa domestik, khususnya plastik sekali guna seperti beg plastik, botol minuman, pembungkus makanan ringan, kotak polisterina, kasut terpakai, tin logam, kotak minuman, botol kaca dan lain-lain.
“Peningkatan ini amat membimbangkan dan memberi isyarat jelas bahawa pencemaran sungai masih berlaku pada kadar yang tinggi.
“Justeru, kami menyeru semua pihak, khususnya penduduk setempat dan pihak industri untuk lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa harian.
“Kalau PBT turun padang, biasanya akan dianggap kita nak melaksanakan langkah penguatkuasaan, jadi, menerusi WonderWorks ini diharap akan dilihat sebagai pendekatan lebih sederhana bagi meningkatkan kesedaran semua untuk bersama-sama meningkatkan daya hidup Sungai Juru ini,” katanya lagi.
Sesuai dengan kedudukan Sungai Juru di kawasan penempatan, komersial dan industri, beliau berkata WonderWorks akan terus mempererat kerjasama strategik dengan pihak kilang yang mahu melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sini.
