RM100,000 kos bina ‘dewan pengurusan jenazah’ Masjid Sembilang dihargai

Admin
KETUA Menteri (depan, berbaju putih) menyempurnakan acara perasmian Dewan Pengurusan Jenazah Dan Tempat Waris Menunggu dekat Masjid Sembilang, Seberang Jaya tadi.

SEBERANG JAYA – Masjid Sembilang di sini kini mempunyai Dewan Pengurusan Jenazah Dan Tempat Waris Menunggu secara berpusat, dengan melibatkan RM100,000 peruntukan daripada Pejabat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

KETUA Menteri (depan, tengah) diberi penerangan mengenai kemudahan berpusat di Dewan Pengurusan Jenazah Dan Tempat Waris Menunggu di sini.

Bercakap kepada pemberita, Setiausaha Jawatankuasa Kariah Masjid Sembilang, Mohd. Naqi Md. Ali yang mesra dipanggil ‘Mamu Rashid’ menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana sudi meluangkan masa merasmikan bangunan dewan tersebut pada petang tadi.

“Daripada RM100,000 yang diberikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri, kita manfaatkan bagi menyediakan peralatan memandikan jenazah secara berpusat lengkap dengan dewan waris menunggu di bangunan ini.

“Kalau nisbah pada kos pengurusan jenazah (oleh pihak individu tertentu pada lima tahun lepas) di hospital tertentu adalah kira-kira RM1,800…untuk anak kariah Masjid Taman Sembilang sahaja, mandi mayat, kapan, keranda, solat jenazah dan tanah kubur semuanya disediakan secara percuma oleh pihak masjid.

“Mewakili jawatankuasa kariah masjid, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini yang mana Ketua Menteri memberi sumbangan bagi membina dewan pengurusan jenazah ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara pada 4 April 2022.

Difahamkan, pada 12 April tahun lepas, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menerima kunjungan hormat jawatankuasa kariah Masjid Sembilang di pejabatnya dekat Komtar.

Dalam pertemuan ringkas tersebut, mereka membangkitkan kepada Kon Yeow mengenai isu keperluan sebuah ‘rumah pengurusan jenazah’ secara berpusat untuk penduduk setempat yang rata-rata adalah daripada kelompok isi rumah 40 peratus paling rendah (B40).

Pada 24 April tahun sama, Pejabat Ketua Menteri meluluskan peruntukan berwajib dalam tiga fasa pemajuan projek berkaitan Dewan Pengurusan Jenazah Dan Tempat Waris Menunggu di sini.

MOHD. Naqi Md. Ali

Sehingga kini, Mohd. Naqi memberitahu bahawa enam jenazah anak kariah telahpun diurus secara percuma dan berpusat di dewan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri semasa era YB Tuan Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri turut meluluskan pemberian tanah seluas 5,955 meter persegi untuk dijadikan tanah perkuburan Islam kariah Masjid Sembilang.

“Kiranya untuk ahli kariah Masjid Sembilang ini, jasa dua Ketua Menteri akan terus dikenang,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS