RM100,000 naik taraf lantai dewan, pusat sumber SK Francis Light

Admin

PULAU TIKUS – Sejumlah RM100,000 disalurkan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai bagi kerja-kerja menaik taraf lantai dewan serta pusat sumber di Sekolah Kebangsaan (SK) Francis Light dekat sini.

 

Menurut Hon Wai, kerajaan sentiasa berhasrat untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang bukan sahaja baik malah kondusif dengan prasarana yang serba lengkap.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memastikan pendidikan menjadi keutamaan termasuk dalam pengagihan dana penyelenggaraan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan serta melalui penganjuran pelbagai program berkaitan.

 

WONG Hon Wai ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Francis Light baru-baru ini.

“Oleh itu, saya berharap, dengan sempurnanya kerja-kerja naik taraf ini maka bukan sahaja pihak sekolah, malah ibu bapa dapat melihat betapa seriusnya kerajaan menitikberatkan hal berkaitan pelajar dan pendidikan,” ucapnya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-46 SK Francis Light. 22 Februari lalu.

 

Turut berucap, Guru Besar SK Francis Light, V. Thinakaran dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Faridah Bakar.

 

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, peranan ibu bapa dalam memastikan pencapaian dan kejayaan anak-anak amat penting.

 

“Guru hanya membantu dan memudahcarakan pembelajaran anak-anak kita di sekolah.

 

“Namun kedua-duanya (ibu bapa dan guru) perlu berganding bahu mempersiapkan anak-anak demi menghadapi cabaran kerjaya masa hadapan,” katanya sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga SK Francis Light yang bakal menyambut ulang tahun ke-90 tahun ini.

 

WONG Hon Wai (dua dari kanan) menyerahkan empat unit pensanitasi kepada V. Thinakaran sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Ke-46 sekolah berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hon Wai turut menyerahkan sumbangan hasil tanggungjawab sosial korporat (CSR) berupa empat unit pensanitasi (sanitizer) dan dua kotak sungkup muka (face mask).

 

“Di Parlimen Bukit Bendera terdapat 25 buah sekolah dan saya ada menerima sumbangan CSR sebanyak 100 botol sanitizer dan face mask untuk diserahkan kepada semua sekolah di sini.

 

“Saya berharap sekiranya terdapat tanda-tanda deman dan sebagainya, segeralah berjumpa dengan doktor bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit seperti tercetusnya Covid-19,” ujarnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG