Pelajar digalakkan ceburi bidang sains & teknologi, penuhi keperluan pasaran kerja semasa

PULAU TIKUS – Pelajar di bangku sekolah menengah khasnya digalakkan untuk menceburi bidang sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

 

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 2008 lagi memperkenalkan pelbagai inisiatif berkaitan sebagai pendedahan terhadap bidang sains dan teknologi.

 

“Kafe Sains Pulau Pinang, Penang Tech Dome, Perpustakaan Digital Pulau Pinang merupakan antara inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi menggalakkan para pelajar menceburi bidang sains dan teknologi.

 

SALAH satu bangunan yang menjadi mercu tanda SMK Perempuan St. George.

“Pelajar perlu fokus kerana bidang seperti ini mempunyai potensi besar pada masa hadapan, apatah lagi apabila Pulau Pinang kini digelar ‘Silicon Valley of the East’.

 

“Sampaikan ada dalam kalangan pekerja yang datang dari luar Pulau Pinang untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang sains dan teknologi di negeri ini,” ujarnya ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. George (SGGS) di sini pada 22 Februari lalu.

 

Turut sama, Pengetua SGGS, Athiyah Abd. Razak serta guru-guru, para pelajar dan ibu bapa.

 

Sebagai sebuah ‘Sekolah Berprestasi Tinggi’, Hon Wai percaya SGGS mampu melahirkan bakat-bakat besar yang cemerlang pada masa hadapan.

 

“Kini ramai pelajar perempuan yang berkebolehan dalam bidang sains dan teknologi.

 

“(Dan) saya percaya pelajar SGGS juga mampu mencipta nama pada masa hadapan.

 

WONG Hon Wai (kiri sekali) menyerahkan pensanitasi dan sungkup muka kepada wakil PIBG pada majlis berkaitan sambil ditemani Athiyah Abd. Razak (kanan sekali).

“Cuma, sebagai nilai tambah, saya menggalakkan para pelajar untuk mempelajari pelbagai bahasa termasuk menguasai bahasa Inggeris dan bahasa ibunda,” serunya.

 

Dalam majlis sama, Hon Wai turut menyerahkan cek berjumlah RM5,000 kepada PIBG SGGS bagi menjalankan aktiviti tahunan.

 

Beliau juga menyerahkan empat botol pensanitasi (sanitizer) berserta sungkup muka (face mask) kepada pihak sekolah.

 

Usai majlis, Hon Wai di bawa untuk menyaksikan pertandingan hoki antara sekolah-sekolah peringkat kebangsaan yang diadakan di sini serta di bawa meninjau sekitar kawasan sekolah.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING