GEORGE TOWN – Sebanyak RM18.79 juta telah diperuntukkan menerusi tiga skim insentif tempatan bagi membantu pemilik dan penyewa memulihara bangunan warisan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata bahawa peruntukan itu merangkumi RM1.88 juta di bawah George Town Heritage Habitat Seed Fund, RM10.64 juta menerusi Insentif Pembaikan Bangunan Warisan Kategori I dan RM6.27 juta bagi Kategori II.
Menurut beliau, UNESCO tidak menyalurkan sebarang dana kewangan atau peruntukan pembaikan kepada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) mahupun Tapak Warisan Dunia George Town.
“UNESCO merupakan badan antarabangsa yang memberikan status pengiktirafan Tapak Warisan Dunia serta memantau pematuhan piawaian pemuliharaan, manakala kos pemuliharaan, pembaikan dan penyelenggaraan bangunan warisan ditanggung oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta dana persendirian pemilik bangunan itu sendiri.
“Sejak ditubuhkan pada 2010, GTWHI menyediakan bantuan teknikal, panduan pemuliharaan serta pelbagai skim insentif tempatan bagi membantu pemilik dan penyewa memulihara premis mereka mengikut piawaian warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Muhamad Kasim, berhubung peruntukan UNESCO, implikasi kejadian bangunan lama runtuh terhadap sektor pelancongan serta kaedah pembaikan mengikut kategori nilai bangunan warisan.
Berhubung isu keselamatan bangunan lama,
Hon Wai turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius perkara berkenaan kerana keselamatan pelawat dan penduduk tempatan merupakan keutamaan.
Jelasnya, kejadian sedemikian berpotensi menjejaskan persepsi pelancong terhadap tahap keselamatan kawasan warisan, justeru pemantauan dan pemeriksaan struktur bangunan lama dilaksanakan secara berkala oleh GTWHI bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Pemantauan turut memberi perhatian kepada isu serangan anai-anai, selain notis tindakan pembaikan dikeluarkan kepada pemilik premis yang dikenal pasti berbahaya bagi mengelakkan risiko terhadap keselamatan awam,” jelasnya.
Mengulas mengenai kaedah pembaikan, Hon Wai menjelaskan bahawa kerja pemuliharaan bangunan warisan Kategori I perlu mengekalkan karakter dan fabrik asal bangunan dengan menggunakan kaedah pembinaan serta bahan yang serupa.
“Kaedah pembinaan baharu hanya dibenarkan bagi mengukuhkan struktur asal tanpa mengubah atau menghapuskan fabrik asal bangunan berkenaan.
“Bagi bangunan warisan Kategori II pula, profil asal termasuk ciri ruang pengudaraan, pekarangan laman, ruang dalaman dan pekarangan belakang perlu dikekalkan serta dipulihkan kepada keadaan asal.
“Sebarang penggantian bahan perlu mencapai profil yang sama atau setara dari segi prestasi, reka bentuk, warna dan tekstur, manakala pindaan atau tambahan kepada bangunan warisan tertakluk kepada permit serta kelulusan MBPP.
“Sebarang perobohan, pengubahsuaian dan tambahan tanpa kebenaran yang menjejaskan profil bangunan juga perlu dikembalikan kepada keadaan asal,” tambahnya.
Sementara itu, bagi tapak dan bangunan bukan warisan dalam kategori replacement/infill, pembangunan semula atau penggantian dengan pembangunan baharu dibenarkan dengan syarat reka bentuknya bersesuaian serta tidak menjejaskan nilai keseluruhan Tapak Warisan Dunia George Town.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT