RM2.36 juta untuk pembangunan sukan komuniti, persatuan

af6606d1 d6d1 4f00 8bfa eed1f6458028 768x512

GEORGE TOWN – Sebanyak RM2.36 juta dana pembangunan sukan telah disalurkan kepada komuniti dan persatuan sukan di negeri ini bagi tahun 2025.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, ia merupakan sebahagian usaha Kerajaan Negeri dalam membudayakan sukan secara menyeluruh di negeri ini.

“Bagi tahun 2025, sejumlah RM1.2 juta Dana Sukan Komuniti (DSK) telah disalurkan kepada 93 permohonan dengan penyertaan 22,858 orang.

“Bukan itu sahaja, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyediakan Geran Padanan Sukan (GPS) kepada badan-badan sukan yang berdaftar bagi menganjurkan program sukan berprestasi tinggi serta berimpak tinggi baik pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Setakat ini, sebanyak 17 persatuan di negeri ini telah menerima GPS ini yang berjumlah RM1.16 juta yang mana tiga persatuan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan 14 persatuan berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS),” jelasnya.

 

499506762 1119271383570903 5990098017631551192 n
DANIEL Gooi Zi Sen.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 19 November 2025.

Menyentuh mengenai sukan tempatan, Zi Sen memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri membangunkan Program Sukan Massa ke arah pembentukan budaya sukan dan pemantapan integrasi nasional menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh.

“Bagi tahun 2025, sejumlah 224 prorgam sukan massa telah dilaksanakan merangkumi 29 program pada peringkat negeri dan 195 program pada peringkat daerah dengan peruntukan berjumlah RM881,670 dengan penyertaan 333,768 individu,” ujarnya.

Jelas Zi Sen lagi, Program Sukan Massa dilaksanakan melalui empat unit iaitu pembangunan dan penggalakan sukan, kecergasan, rekreasi dan permotoran serta orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Dalam pada itu, selaras dengan inisiatif memperkukuh infrastruktur dan kemudahan sukan di negeri ini, beberapa projek pembangunan sukan turut dilaksanakan termasuk pembinaan asrama atlet, penambahbaikan fasiliti dan stadium sedia ada serta pelbagai projek lain lagi.

“Misalnya, projek Pusat Belia Kepala Batas yang telah diluluskan untuk pelaksanaan oleh Kementerian Ekonomi serta projek ‘Sport City’ dan Stadium Batu Kawan yang kini berada pada peringkat proses penilaian tender.

“Semua ini adalah demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI