RM2.7 juta lebihan dana MPSP hasil belanja hemat

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG PERAI – Langkah mengurangkan kos perbelanjaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada tahun lepas berjaya menyelamatkan lebihan RM2,742,544 dana pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, pendapatan dan kos perbelanjaan MPSP bagi tahun 2013 masing-masing berjumlah RM199,811,772 dan RM197,069,228.

Justeru, Maimunah berkata, pihaknya akan memastikan mutu pelanggan terus dipelihara pada masa hadapan, sungguhpun MPSP
giat mendepani cabaran kewangan seperti tahun lepas.

“Cabaran kewangan yang perlu dihadapi MPSP adalah mengurangkan kos Perbelanjaan meningkatkan pendapatan.

“Dalam mengurangkan kos (perbelanjaan), MPSP akan sentiasa memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan tidak terjejas,” ujarnya pada Perhimpunan Korporat MPSP di sini baru-baru ini.

Setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud dan semua Ahli Majlis bagi MPSP turut hadir pada perhimpunan berkala bersama kakitangan PBT tersebut.

Maimunah menjelaskan, cabaran kewangan MPSP boleh didepani dengan syarat semua kontrak yang ditawarkan mempunyai value add dan outcome, semua jabatan berwajib menggandakan usaha mengutip hasil serta amalan berbelanja secara hemat.

Pada pertemuan tersebut, Maimunah turut mengumumkan Projek-projek Tembatan Banjir yang sedang dijalankan MPSP.