GEORGE TOWN – Seramai 164 orang atlet negeri menerima insentif di bawah Penang Athlete Career & Education (PACE) 2025 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM175,377.45.
Daripada jumlah itu, seramai 31 orang menerima insentif pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT), biasiswa sukan (21), Skim Kebajikan Atlet Negeri Pulau Pinang (SKAN) kepada dua orang, serta 110 orang atlet di bawah inisiatif Skim Sukan Awam Penang2030 (SAP2030).
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata pemberian insentif tersebut melambangkan komitmen Kerajaan Negeri serta Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dalam memastikan agenda pembangunan atlet secara holistik meliputi aspek kecemerlangan bidang sukan dan pencapaian akademik.

“Kerajaan Negeri hari ini senantiasa memberi perhatian yang serius terhadap keperluan atlet bukan sahaja ketika mereka berada di puncak kejayaan sukan, tetapi juga dalam memastikan kesejahteraan serta hala tuju masa depan mereka,” katanya dalam majlis penyampaian insentif berkaitan di Dewan Perniagaan Cina Negeri Pulau Pinang di sini pada 6 Disember 2025.
Selain insentif PACE, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut menyampaikan imbuhan menerusi Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) berjumlah RM24,800 kepada 19 atlet yang menyertai Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) XXII, Sarawak 2025.
Beliau turut menyampaikan insentif berjumlah RM12,000 kepada atlet catur Loo Pin Xie atas pencapaian cemerlang dalam Temasya Sukan Orang Pekak Asia Tenggara (SEA Deaf Games) Edisi Ke-2, 2025 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata pemberian insentif pada kali ini diharap akan terus mendorong para atlet negeri untuk meningkatkan prestasi serta memperkukuh komitmen dan mengekalkan kecemerlangan pada masa hadapan.
“Kerajaan Negeri yakin bahawa pengiktirafan seperti ini mampu menyuntik semangat baharu kepada atlet kita, sekali gus mengiktiraf usaha gigih, disiplin tinggi serta pengorbanan yang dicurahkan sepanjang tempoh latihan dan pertandingan.
“Diharapkan insentif-insentif ini menjadi satu suntikan semangat buat atlet yang sedang gigih berusaha menyeimbangkan cabaran dunia sukan dan pendidikan.
“Saya percaya bahawa laluan ini bukan mudah namun dengan adanya sokongan berstruktur seperti PACE, saya yakin para atlet mampu mengorak langkah lebih jauh,” katanya.
Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua sebelum itu turut menyampaikan ucapan alu-aluan secara telesidang.
Serentak pada majlis sama, Zi Sen turut menyampaikan insentif bantuan kepada dua bekas atlet sukan sepak takraw negeri, yang mana masing-masing ketika ini diuji dengan masalah kesihatan.

Mereka berdua ialah Muhammad Fauzan Ikhwan Mohamad Hassan yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan jalan raya dan Muhammad Fitri Irfan Mohamed Noor yang mengidap Kanser Lymphoma tahap 4.
Dalam sidang media selepas itu, Zi Sen berkata Pulau Pinang memang mempunyai ekosistem yang baik untuk penganjuran enam kluster sukan iaitu floorball, judo, snuker & biliard, tinju, sepak takraw dan ping pong bersempena penganjuran Sukan SEA 2027 edisi ke-34, yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 29 September 2027.
“RM15 juta diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk persiapan tempat dan perkara-perkara berkaitan bagi enam sukan ini sempena penganjuran Sukan SEA 2027,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow atas pemberian peruntukan tersebut.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB