RM3.81 juta pulih semula projek nyahgaram umpama CSR PBAPP kepada penduduk Pulau Aman

Admin
534998d7 44e2 417e a63e 910976e8dd47 KETUA Menteri (tengah), K. Pathmanathan (tiga dari kiri) dan beberapa pemimpin lain semasa lawatan teknikal projek penambahbaikan Loji Penyahgaraman (desalination) PBAPP di Pulau Aman pada 22 November 2025.

BUKIT TAMBUN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang sedang melaksanakan kerja-kerja pemulihan semula projek desalinasi perintis di Pulau Aman untuk menghasilkan 0.24 juta liter sehari (MLD) air terawat, yang diperlukan oleh penduduk pulau berkenaan.

Dengan unjuran kos kira-kira RM3.81 juta, syarikat operator air negeri menjangkakan projek tersebut siap pada 15 Jun 2026, memandangkan status kerja-kerja pemajuan ketika ini sudah mencapai status 26.61 peratus.

d182ac74 3ba0 464c b1c6 0552c739740a
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa walaupun projek tersebut berskala perintis, namun ia membawa potensi besar dalam memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang bagi negeri ini.

“Apabila siap sepenuhnya, loji desalinasi berkapasiti 0.24 MLD ini akan membekalkan air terawat kepada 94 pengguna atau pemilik akaun di Pulau Aman,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi sebelum mengadakan lawatan teknikal projek penambahbaikan Loji Penyahgaraman (desalination) PBAPP di Pulau Aman pada 22 November 2025.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan menyatakan bahawa syarikat operator air negeri itu mula melaksanakan projek perintis penyagaraman di Pulau Pinang pada tahun 2015, dan siap sepenuhnya pada 2019.

Namun, menurut beliau, air nyahgaram yang dihasilkan ketika itu tidak berjaya memenuhi parameter keselamatan bagi kandungan boron dan jumlah pepejal terlarut (total dissolved solids).

“PBAPP berpegang teguh pada prinsip bahawa air yang tidak selamat akan dibekalkan di Pulau Pinang (jika projek perintis penyahgaraman tersebut dilaksanakan).

“Sepanjang lima tahun lalu, pelan kejuruteraan telah dirangka, dikemas kini dan diluluskan bagi tujuan menaik taraf serta memulihkan semula projek (perintis) ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata bahawa osmosis songsang air masin (SWRO) merupakan teknologi teras yang akan dilaksanakan oleh PBAPP dalam projek pemilihan semula Projek Desalinasi Pulau Aman (PADP).

9f433a32 b068 403d 860c bf6dfed6c6ef
(Dari kanan, depan) K. Pathmanathan, Ketua Menteri dan Goh Choon Aik dalam sidang media berkaitan di sini sebentar tadi.

Dalam sidang media selepas itu, Pathmanathan memberitahu bahawa walaupun Republik Rakyat Singapura telah mencapai tahap jaminan bekalan air yang jauh lebih tinggi berbanding Pulau Pinang, kadar purata air domestik negara tersebut ialah RM10.32 (atau SGD3.24) bagi setiap satu meter padu untuk 35 meter padu pertama sebulan pada tahun 2025.

“Sebagai perbandingan, kadar domestik setara di Pulau Pinang hanyalah RM0.86 bagi setiap 1 meter padu.

“Pengoperasi penyahgaraman loji ini (di PADP) adalah 10 kali ganda kos konvensional (memproses air mentah menjadi air terawat).

“Walaupun kos operasi penyahgaraman di (PADP) tinggi, ia akan diserap oleh PBAPP, maka, kadar yang dibayar oleh penduduk di Pulau Pinang (kira-kira lebih 200 orang) adalah adalah sebagaimana tarif yang sama ditetapkan,” ulasnya sambil menyeru sekalian pengguna berhemah dalam menggunakan air terawat.

Sementara itu, Kon Yeow memberitahu bahawa apabila PADP dapat beroperasi semula kelak, ia akan memberi laluan kepada PBAPP untuk memperbaiki salah satu daripada dua paip penyaluran bekalan air terawat di bawah dasar laut, yang mana ketika ini dikenal pasti telah bocor.

Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menganggap projek pemulihan semula PADP tersebut sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) memandangkan penduduk Pulau Aman menikmati tarif yang sama seperti pengguna air terawat lain di negeri ini.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik antara pemimpin negeri yang turut menyertai lawatan teknikal ke tapak projek penambahbaikan PADP PBAPP sebentar tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT