RM380,000 projek penarafan Jeti Tambahan Nelayan Changkat siap

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

JAWI – Projek penarafan Jeti Tambahan Nelayan Changkat kira-kira 48 meter panjang x 3 meter lebar serta jalan masuk baharu ke sini akhirnya siap dengan peruntukan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berjumlah RM380,000.

Ketika berucap, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, projek tersebut dilaksanakan susulan maklum balas penduduk dan nelayan setempat dalam program Jelajah Sedia Mendengar Bersama-Sama Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada Ogos dan 13 Oktober tahun lalu di sini.

“Jeti ini telah dibina pada 2008 daripada sokongan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang memperuntukkan kos sebanyak RM500,000 untuk membina jeti ini.

“Tapi, saya diberitahu tidak ada sebarang kemudahan asas disediakan seperti bekalan air dan tempat letak kereta pun tidak disediakan dengan baik.

“Kemudahan asas (yang siap dinaiktaraf) ini bukan untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk orang ramai… saya amat yakin pelancong-pelancong dari luar akan datang ke sini,” katanya pada Majlis Perasmian Jeti Tambahan & Dataran Parkir Pengkalan Jeti Nelayan Changkat Nibong Tebal di sini baru-baru ini.

Selain Kon Yeow, hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee; ADUN Sungai Bakap yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Makhtar Shapee dan Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Mohd. Ali Sebran.

Lip Chee ketika berucap memberitahu, komuniti nelayan setempat berharap Kerajaan Negeri pada masa hadapan mempertimbang hasrat untuk membina infrastruktur kemudahan awam lain seperti lot kedai komersial, chalet, serta restoran makanan laut di sini.

Manakala, Pengerusi Persatuan Jeti Nelayan Changkat, Abdul Rahman Ibrahim menyatakan bahawa projek penarafan itu memberi manfaat berantai kepada komuniti penduduk dari lima buah kampung berhampiran Jeti Changkat, khususnya 113 ahli dan anggota nelayan persisiran pantai di sini.

“Sampan yang terletak di sini mencecah hampir 100 buah… setiap kali cuti umum, jeti kami dipenuhi dengan kenderaan hampir 70 kereta dan anggaran pengunjung seramai 150 orang.

“Yang amat kami memerlukan adalah bekalan elektrik untuk kegunaan para nelayan dan orang ramai di sini.

“Kami berharap Kerajaan Negeri akan terus membantu dan membela nasib nelayan agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng.