GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) menerima peruntukan berjumlah RM4.3 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan tapak, bangunan yang telah diiktiraf dan berpotensi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long berkatabahawa penyaluran dana tersebut adalah merangkumi 10 projek fizikal dan kajian yang bertujuan memastikan kelestarian warisan negeri Pulau Pinang terus terpelihara.
“Antara projek utama yang diluluskan termasuk membaik pulih monumen Queen Victoria Memorial Clock Tower; menaik taraf tingkap Dewan Bandaran MBPP; menaik taraf lorong belakang Lebuh Carnarvon – Lebuh Melayu dan tandas Kampung Kolam.
“Kerja-kerja lain adalah melibatkan pemuliharaan bangunan warisan di Lebuh Armenian (No. 126–128), Rumah Agam Syed Al-Attas dan Artisan Hub, malah, inisiatif bukan fizikal yang turut dilaksanakan adalah seperti projek ‘wayfinding’ di Zon Teras serta Zon Penyangga dan penyediaan Lukisan Terukur bagi Bangunan Kategori II,” ujarnya di sini pada 23 Februari lalu.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan di bawah Pelaksanaan Inisiatif Belanjawan 2025 – Penyelenggaraan Tapak dan Bangunan yang Telah Diiktiraf dan Berpotensi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di Town Hall Gallery MBPP.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin; Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Ar. Zalena Abdul Aziz serta Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Ming Chee.
Mengulas lanjut, Zulkifli memaklumkan bahawa kelulusan semua projek berkenaan tertakluk kepada syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN).
“Antaranya, semua projek mesti dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan, manakala setiap projek fizikal perlu mendapatkan ulasan serta syor Pesuruhjaya Warisan terlebih dahulu.
“Syarat lain termasuk pengemukakan laporan kemajuan dan status pelaksanaan kepada Jabatan Warisan Negara (JWN)pada setiap 10 hari bulan, selain penubuhan jawatankuasa pemantauan pada peringkat negeri sekiranya perlu,” jelasnya lanjut.
Beliau dalam pada itu juga menegaskan bahawa kelewatan pelaksanaan tidak seharusnya berlaku sehingga memberi impak negatif kepada rakyat, sebagaimana yang pernah terjadi dalam beberapa projek sebelum ini.
“Usaha ini bukan sekadar memelihara bangunan lama, tetapi juga memartabatkan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO serta mengekalkan identiti dan sejarah untuk tatapan generasi akan datang,” ulasnya.