RM4 juta CSR PBAPP demi baiki fasiliti bekalan air kawasan kediaman berstrata

Admin
62afe55b 94e2 4168 9444 0aefe768332e KETUA Menteri (tengah) menyaksikan wakil PBAPP menyerahkan dua cek cura sumbangan CSR dengan nilai keseluruhan RM4 juta kepada wakil LPNPP seusai sidang media berkaitan di Komtar pada 6 Oktober 2025.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM4 juta sebagai langkah sokongan kewangan kepada Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dalam melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan bekalan air bagi penduduk pangsapuri kos rendah di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu diambil selepas menyedari bahawa kira-kira 300 projek perumahan kos rendah khususnya pangsapuri lima tingkat telah dibina tanpa kemudahan tangki sedutan dan sistem pam air.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa langkah itu diambil memandangkan majoriti penduduk pengsapuri kos rendah tergolong dalam kumpulan berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) serta tidak mempunyai perbadanan pengurusan (MC) bagi menyelenggara kemudahan bangunan strata secara berkesan.

“Kita (Kerajaan Negeri) ada Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Pulau Pinang (TPM80PP) yang sudah banyak tahun dilaksanakan bagi membantu rumah pangsa awam yang layak disalurkan bantuan untuk kerja-kerja pembaikan pelbagai, tetapi sebanyak mana peruntukan pun adalah tidak cukup untuk memenuhi segala permintaan.

“PBAPP telah melakukan langkah-langkah pemulihan (tekanan air rendah di kawasan lebih tinggi atau di hujung paip agihan, EoL), oleh kerana di kawasan golongan ini tidak ada rumah pam dan sistem retikulasi paip air dalaman yang sempurna, mereka akhirnya mendapat bekalan air paling akhir.

“Jadi, dana (RM4 juta yang merangkumi peruntukkan bagi tahun 2024 dan 2025) ini akan digunakan untuk melaksanakan projek-projek di bawah Program PRIHATIN, iaitu Program Intervansi Infrastruktur Air bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan bekalan air di kawasan yang memerlukan,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di sini pada 6 Oktober 2025.

Turut serta, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. K. Pathmanathan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ketua Pegawai Penguatkuasaan dan Perundangan LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa semasa mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah PBAPP pada 16 April 2024, cadangan sumbangan CSR berjumlah RM2 juta diluluskan.

“Tambahan RM2 juta lagi bagi tahun 2025 telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah (PBAPP) pada 24 Februari 2025, dan bantuan ini dijangka diteruskan untuk tahun-tahun seterusnya megikut keperluan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING