RM60 juta laksana Projek Pemuliharaan Sungai Juru tahun depan

Admin
img 20251101 wa0033

PADANG LALANG – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) meluluskan peruntukan berjumlah RM60 juta di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi pelaksanaan Projek Pemuliharaan Sungai Juru.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa projek berimpak tinggi yang amat penting untuk negeri Pulau Pinang itu dijangka bermula pada tahun hadapan.

“Pelaksanaan projek ini bertujuan mengurangkan hakisan tebing sungai, melindungi infrastruktur awam dan harta benda serta menangani masalah pencemaran sampah di dalam sungai.

“Selain itu, projek ini turut memberi tumpuan kepada peningkatan tahap keselamatan dan perlindungan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran sungai.

“Kerajaan Negeri berharap agar projek ini berjalan mengikut jadual dan menjadi projek di negeri Pulau Pinang pada masa akan datang,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) di Sungai Rambai dekat sini sebentar tadi.

img 20251101 wa0037
Ketua Menteri melepaskan anak ikan ke dalam Denai Sungai Rambai.
img 20251101 wa0042
Acara “briskwalk” yang disertai oleh komuniti setempat.

img 20251101 wa0043img 20251101 wa0030

Turut hadir, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Zairil Khir Johari; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dato’ Kamarul Haizal Koderat; Pengarah Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Bumbong Lima, Rosiah Mohamed Ariff dan Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Ngoh Kam Fat.

Menurut Kon Yeow, sebanyak 55 denai sungai telah dibangunkan di negeri Pulau Pinang dengan panjang keseluruhan 88.5 kilometer (km) yang telah memberi manfaat kepada komuniti di kawasan sekitarnya.

“Salah satu projek yang berjaya direalisasikan ialah DSK Sungai Rambai yang siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Projek ini meliputi pembinaan Dataran Kejat, pembangunan laluan denai awam sepanjang 3km, serta kerja-kerja pemeliharaan landskap secara berterusan.

“Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 200 penduduk setempat dan menjadi tarikan kepada pengunjung untuk beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi, khususnya pada hujung minggu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Program DSK turut menekankan penglibatan aktif komuniti tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mencegah pencemaran serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan sungai serta kelestarian alam sekitar.

“Kerjasama erat ini membuktikan bahawa pemuliharaan sungai bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya merupakan amanah bersama demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Pelaksanaan Program DSK juga menjadi medium penting dalam mencapai objektif Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM).

“Pendekatan IRBM menekankan pengurusan secara menyeluruh dan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti air, menjamin bekalan air mencukupi, mengurangkan risiko banjir serta memulihara alam sekitar sebagai khazanah bernilai negara,” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, tiga pelan IRBM telah siap disediakan di negeri ini merangkumi IRBM Sungai Juru, IRBM Sungai Muda dan IRBM Sungai Perai, manakala IRBM Sungai Jawi kini dalam peringkat penyediaan.

“Pelaksanaan pelan ini adalah amat penting bagi memastikan pengurusan sungai di Pulau Pinang dapat dijalankan dengan lebih terancang, efisien dan mampan.

“Justeru, saya menyeru agar semua pihak berkepentingan dan rakyat Pulau Pinang terus memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kepentingan sungai-sungai negeri ini supaya sumber air semula jadi dapat dipelihara dengan baik untuk generasi kini dan juga akan datang,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT