RMK-10: Mengapa Kerajaan Pusat diskriminasi rakyat Pulau Pinang?

Admin

GEORGE TOWN – Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan supaya tidak terus meminggirkan serta mendiskriminasi rakyat Pulau Pinang dari segi agihan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan I wajar menambah peruntukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari RM2.88 bilion kepada lebih RM7.2 bilion.

“Memandangkan bahawa RMK-10 telah ditambah sebanyak 10 peratus berbanding RMK-9, maka, jumlah peruntukan untuk Pulau Pinang juga harus ditambah 10 peratus daripada RM6.54 bilion di bawah RMK-9 kepada RM7.2 bilion di bawah RMK-10.

“Kegagalan Kerajaan Persekutuan berbuat demikian akan dilihat sebagai tindakan terus meminggirkan rakyat Pulau Pinang atau diskriminasi terhadap negeri Pulau Pinang,” ujar beliau pada satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah beliau, agihan Peruntukan Kerajaan Persekutuan ke Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepatutnya lebih setimpal dan adil sungguhpun negeri berkenaan ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Ini kerana katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, hakikatnya, dipilih oleh rakyat secara demokratik pada pilihan raya umum lepas.

Justeru katanya, pentadbiran Najib seharusnya sedar bahawa Pulau Pinang turut menyumbang kepada pusat melalui pembayaran cukai dan duit.

Buletin Mutiara difahamkan, kutipan cukai untuk tahun 2011 direkodkan paling tinggi dalam sejarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) iaitu sebanyak RM30.397 bilion.

Itu, belum dihitung rekod Pulau Pinang sebagai jaguh pelaburan di negara ini selama dua tahun berturut-turut sejak dua tahun lepas. Pelaburan asing langsung (FDI) Pulau Pinang pada tahun 2010 adalah tertinggi, iaitu sebanyak RM12.24 bilion dan RM9.1 bilion untuk tahun 2011.

Rekod FDI 2010 tersebut sekaligus memperlihatkan Pulau Pinang menyumbang 36 peratus kepada keseluruhan FDI negara sungguhpun, rakyat di negeri berkenaan hanya 6 peratus daripada populasi rakyat negara.

Jawapan bertulis Najib pada sidang Dewan Rakyat lepas mendedahkan kerajaan pusat hanya memperuntukan RM2.88 bilion bagi melaksanakan 259 program/projek di bawah RMK-10 di Pulau Pinang.

Peruntukan itu adalah bersifat ‘rolling plan’ pertama RMK-10. Dari peruntukan itu, RM873.43 juta bagi melaksanakan 50 projek pembinaan jalan dan jambatan demi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Dalam pada itu, persekutuan telah memperuntukkan RM234.96 juta bagi melaksanakan 30 projek untuk mengatasi masalah banjir kilat dalam tempoh RMK-9 hingga rolling plan pertama RMK-10.