DSAI yakin rakyat sokong integriti KM

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

ANWAR Ibrahim (tengah, berbaju putih) berjabat tangan dengan para hadirin pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Sempena Hari Bersejarah 308 di sini baru-baru ini.
ANWAR Ibrahim (tengah, berbaju putih) berjabat tangan dengan para hadirin pada Majlis Makan
Malam Bersama Rakyat Sempena Hari Bersejarah 308 di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng akan terus menerima sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu berkata demikian berdasarkan rekod Kerajaan Negeri yang menyerlah dalam pelaksanaan budaya integriti serta anti rasuah melalui kempen Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

“Dari 100 polisi perubahan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, saya mungkin bersetuju 40 atau 20 (polisi) sahaja.

“Tetapi, apa yang membezakan pentadbiran Guan Eng dengan (pentadbiran) UMNO, dia (Guan Eng) tak curi atau rasuah dengan menggunakan wang rakyat, pemimpin UMNO (didedah) curi, pecah amanah, boros wang rakyat. Inilah kekuatan Guan Eng untuk terus dipilihan rakyat,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat Sempena Hari Bersejarah 308 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Datuk Abdul Halim Hussain (Speaker Dewan Undangan Negeri), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Negeri), S. Raveentheran (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban), Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak), Ng Wei Aik (ADUN Komtar) dan Datuk Chua Jui Meng (bekas Menteri Kesihatan merangkap Naib Presiden PKR).

Kata Anwar, integriti di Pulau Pinang telah menarik pelaburan asing langsung (FDI) paling tinggi pada tahun 2010, iaitu sebanyak RM12.2 bilion.

“Pencapaian itu telah melonjak imej Pulau Pinang di peringkat antarabangsa sehingga diiktiraf oleh majalah global, The Economist dan Bloomberg.

“Usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru dalam memerangi rasuah sejak Mac 2008 turut menerima pengiktirafan badan bebas dunia, Transperency International (TI),’’ katanya.

Beliau menambah, pilihan raya kali ini akan menjadi medan pertembungan idea serta polisi di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Disebabkan itu, ujarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar menerima cabaran debat terbuka beliau mengenai masa depan ekonomi tanah air.

“Pilihan raya kali ini bukan sekadar tukar kerajaan satu atau dua Kerajaan Negeri (dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat) semata-mata, pilihan raya kali ini adalah pilihan raya terbaik untuk tukar tukar kerajaan pusat.

“Pilihan raya kali ini bukan sekadar Barisan Nasional bertempur dengan Pakatan Rakyat. Pilihan raya kali ini adalah pertembungan antara idea dan nilai yang menuntut rakyat memilih yang terbaik untuk masa depan mereka dan negara,” tegas beliau.