RMK-11, permohonan P. Pinang tidak dilayan – KM

GEORGE TOWN – Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat Malaysia di negeri ini, sungguhpun Kerajaan Negeri sebelum ini telahpun membentangkan permohonan projek-projek pembangunan negeri pada masa depan yang keseluruhannya bernilai hampir RM21 bilion.

Sambil mengecam layanan dingin Putrajaya, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri tetap akan meneruskan rancangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) serta beberapa projek lain di negeri ini, walaupun mengaku akan melalui saat yang sukar dalam tempoh lima tahun mendatang.

“Tentu kita (Kerajaan Negeri) meminta (peruntukan melalui RMK-11) untuk menangani kesesakan lalulintas dengan membina MRT (transit laju massa), LRT (transit aliran ringan) serta melebarkan jalan dan memperbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (di Bayan Lepas) yang saya rasa akan mencecah kapasiti (maksimum) pada akhir tahun ini.

“Tetapi, semua permintaan ini langsung tidak dilayan dan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) tidak diberikan apa-apa pun (projek
pembangunan) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, dan sekali lagi Pulau Pinang dilupakan, ini mengulangi lagi peristiwa rakyat Malaysia di Pulau Pinang dipinggirkan seperti dalam Bajet 2015.

“Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan program-program pembangunan dan program-program kebajikan untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang sungguhpun sukar, seperti melaksanakan PIP demi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mengatasi masalah kesesakan trafik.

“Tiada apa-apa (projek pembangunan) untuk Pulau Pinang dan itu sesuatu yang kita (Kerajaan Negeri) kecam kerana Kerajaan Barisan Nasional (Pusat) bermain politik sehingga mengabaikan kepentingan nasional di negeri ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng turut memberi respons pada laporan berita akhbar berbahasa Cina mengenai sumbangan kutipan cukai mengikut negeri yang diserahkan kepada Kerajaan Pusat untuk pembangunan nasional di seluruh negara.

Laporan tersebut mendedahkan bahawa Pulau Pinang merupakan penyumbang cukai ketiga tertinggi, iaitu sebanyak RM6,302 juta di belakang Johor (RM8,575 juta) dan Kuala Lumpur (RM109, 612 juta).

“Walaupun kita sebagai penyumbang cukai ketiga tertinggi di Malaysia, tetapi langsung tiada apa-apa (projek pembangunan melalui RMK-11) untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.

“Ini (menggambarkan) rakyat Malaysia di Pulau Pinang sekali lagi dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat walaupun mereka masing-masing membayar pelbagai cukai atas semangat dan kepentingan nasional,” tegas Guan Eng pada sidang media berasingan di sini baru-baru ini.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);