GEORGE TOWN – Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini membawa makna yang lebih mendalam apabila diraikan sehari selepas pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Menurut Kon Yeow, sambutan berkaitan bukan lagi sekadar acara rutin tahunan, sebaliknya merupakan detik penting bagi rakyat menghayati semangat patriotisme dan bersedia menyahut agenda pembangunan negara yang baharu.
“Sambutan ini bukan sekadar acara rutin tahunan.
“Lebih bermakna lagi, sehari sebelum ini telah diumumkan RMKe-13 yang menjadi hala tuju kita dalam membangunkan ekonomi, memupuk perpaduan serta memperkukuh keharmonian masyarakat,” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini pada 1 Ogos 2025.
Hampir semua Exco Kerajaan Negeri menyertai acara sambutan tersebut dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama ada jabatan negeri mahupun Persekutuan.
Selain menyanyikan lagu patriotik dan melafaz ikrar Rukun Negara, Kon Yeow turut menyempurnakan acara pemberian Jalur Gemilang kepada wakil jabatan negeri, agensi negeri, jabatan Persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih di Pulau Pinang.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menyempurnakan acara pelepasan konvoi merdeka sebagai acara gimik dan kemuncak bagi majlis berkaitan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN