SYARIKAT multinasional (MNC), Lam Research, membuktikan komitmen tinggi dalam memperkasa pendidikan STEM di Malaysia melalui penajaan berjumlah USD10 juta bagi penyertaan sekolah tempatan ke pertandingan robotik berprestij, FIRST Global Challenge.
Penajaan tersebut bertujuan melahirkan pelapis bakat muda yang kompeten dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) demi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
Bagi tahun 2025, Lam Research menaja Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Maarif, Bukit Goh, Kuantan, Pahang untuk projek robotik ‘Jong Melayu’ dan berjaya mendapat tempat pertama bagi kategori kreativiti penyampaian video Storytelling Awardmanakala keseluruhan ke-86 daripada 190 negara yang bertanding.

Menurut Pengurusan Kanan Komunikasi Korporat Lam Research, MACY LIM, penyertaan ke pertandingan antarabangsa semestinya memberi satu pengalaman besar kepada para pelajar.
“STEM amat penting, jadi menyertai pertandingan ini bukan sahaja mengenai bakat dalam pelajaran, bahkan kami mahu mereka memahami proses of inovasi dan tidak ketinggalan sekiranya kurang berjaya.
“Sebab bukan semua perkara yang kita buat kali pertama akan berjaya, jadi mereka perlu yakin kepada diri mereka, percaya pada diri dan orang lain, kolaborasi serta belajar untuk perbaiki kelemahan,” ujarnya kepada wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI ketika ditemui semalam dekat Lam Research Batu Kawan di sini semalam.
Menyentuh mengenai keperluan industri, Macy Lim percaya setiap individu dalam pasukan mempunyai kelebihan masing-masing mengikut bidang.
“Semuanya tentang bakat, perkara yang asas memang kena ada akademik, pelajar juga perlu ada soft skills seperti penyelesaian masalah, komunikasi serta daya tahan bagi terus melangkah dalam industri.
“Setiap bakat ada jalan dia tersendiri untuk dikembangkan, ada yang berjaya akademik, ada yang dapat tajaan biasiswa, ada yang ke arah Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).
“(Dan) dari sini mereka akan memasuki industri melalui pengalaman yang berbeza-beza,” ulasnya lanjut.
Difahamkan selain menaja FIRST Global Challenge, kakitangan Lam Research dari seluruh dunia turut menjadi sukarelawan dan mentor kepada pasukan terpilih menyertai pertandingan itu.
Dalam pertandingan tersebut, SMA Al-Maaarif mempertaruhkan projek robotik bernama ‘Jong Melayu’.

Pasukan ini diwakili pelajar tingkatan empat Farid Zakwan Riduwan, Danish Zakwan Mohd Jamali, Muhammad Umar Nazmi Muhammad Ghazali, serta dua beradik kembar Wan Nur Faieqa Wan Emril Nizam, dan Wan Nur Eisya Wan Emril Nizam yang kesemuanya berusia 16 tahun.
Ketua kumpulan, Farid Zakwan berkata, robot seberat sekitar tiga hingga lima kilogram itu boleh bergerak pantas termasuk mampu melakukan ‘drift‘ kerana dilengkapi empat enjin berbanding menggunakan dua enjin seperti menjadi kelaziman robot dari peserta negara lain.
“Kami menamakannya ‘Jong Melayu’ mengambil semangat kehebatan kapal zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang digunakan sebagai kapal perang dan juga kapal dagang dan terkenal dengan saiznya yang besar dan kukuh.
“Robot kami mampu menangkap bola keranjang atau bola pantai berdiameter 50 sentimeter (cm) dalam tempoh dua saat, selain memanjat menara berbentuk piramid setinggi 150cm dalam masa dua minit 15 saat.
“Dalam pertandingan itu, kami perlu menyelesaikan cabaran bertema ‘Eco Equilibrium‘ yang mempunyai objektif memulihkan habitat dan keseimbangan ekologi,” jelasnya.
Melalui acara tersebut juga, para peserta melalui proses disiplin yang ketat melibatkan keupayaan robot masing-masing yang bertanding.