Rompakan kedai emas, polis diseru tambah anggota rondaan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PERAI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa simpati terhadap pemilik kedai emas di Medan Kurau 1, Taman Chai Leng di sini ekoran kejadian rompakan yang menyebabkan pasangan berkaitan kerugian kirakira RM600,000 baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan tindakan suspek yang begitu berani melakukan rompakan di lokasi padat iaitu berhadapan Pasar Besar Taman Chai Leng.

“Saya ada menghubungi Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi berkenaan kejadian ini.

“Saya juga memohon kepada beliau supaya keanggotaan polis dapat ditambah terutamanya dalam menjalankan rondaan di kawasan ini bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kreadibiliti pasukan keselamatan berkaitan,” katanya pada sidang media selepas lawatan terhadap mangsa dan lokasi kejadian di sini baru-baru ini.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri II yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.

Dalam kejadian 29 September lalu, empat suspek bersenjatakan pistol bertindak merompak sebuah premis emas di Medan Kurau 1, Taman Chai Leng, Perai.