Tangguh GST, projek KN untuk kepentingan awam bukan untung perniagaan – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Sebuah jambatan merentasi Sungai Berembang yang menghubungkan Jawi dan Sungai Acheh akan dibina di sini, dengan peruntukan Kerajaan Negeri kirakira RM40 juta.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi merayu Kerajaan Pusat supaya menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang didakwa turut membebankan Kerajaan Negeri.

Serentak itu, beliau turut merakamkan penghargaan kerana projek penarafan Padang Taman Berjaya Nibong Tebal serta bumbung gelanggang bola keranjang dan sepak takraw di sini siap dengan menggunakan peruntukan Ketua Menteri sebanyak RM400,000.

“Dengan kos RM40 juta, ‘berat’, sungguhpun ditambah dengan 6 peratus GST, kita (Kerajaan Negeri) akan tetap meneruskan projek ini kerana kita ada wang (surplas), jika tidak, tentu projek inipun terpaksa ditangguhkan.

“GST perlu ditangguhkan pelaksanaannya kerana projek Kerajaan Negeri ini benar-benar untuk kepentingan awam, dan bukan untuk keuntungan perniagaan.

“Ini wang peruntukan daripada Kerajaan Negeri yang kita gunakan demi rakyat tanpa mengira kaum, baik Melayu, Cina mahupun India.

“Projek penarafan ini untuk kegunaan seluruh rakyat Pulau Pinang, khususnya penduduk Jawi di sini,” ucapnya sebelum menyempurnakan Majlis Pelepasan Larian Karnival Pesta Tanglung Kedua 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng di dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee kerana berjaya menganjurkan Pesta Tanglung selama seminggu sebagaimana pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Lip Chee yang merakamkan penghargaan kepada Guan Eng kerana meluluskan peruntukan penarafan dua projek di Taman Berjaya itu turut memberitahu bahawa pihaknya pada pertengahan tahun 2013 turut menambah empat unit permainan terbuka di Padang Taman Berjaya, yang menelan belanja RM12,500.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);