RTB Labuh Banting tunggu kelulusan peruntukan – Exco

GEORGE TOWN – Status projek tebatan banjir di kawasan Labuh Banting, yang merupakan titik pertemuan Sungai Perai, Sungai Kulim, Sungai Jarak dan Sungai Kereh masih bergantung kepada kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari berkata bahawa kawasan tersebut telah dimasukkan di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kulim dan Sungai Perai yang dicadangkan dalam Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

“Cadangan projek RTB ini telah dikemukakan, namun kelulusan peruntukan masih belum diterima dan masih belum diluluskan,” jelasnya bagi menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd. Sobri Salleh.

Mengulas lanjut, Zairil turut memaklumkan bahawa perancangan terperinci bagi pelaksanaan projek hanya dapat dimuktamadkan selepas peruntukan rasmi diterima.

“Bagi memastikan usaha tebatan banjir di kawasan Labuh Banting dapat dilaksanakan mengikut jadual, peruntukan rasmi perlu diterima terlebih dahulu.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menangani isu banjir, namun pelaksanaan projek berskala besar seperti RTB memerlukan sokongan kewangan yang mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & LAW SUUN TING