GEORGE TOWN – Proses pelingkungan bagi Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 (RTSP 2030) berakhir pada 30 Jun ini, dan akan dikemas kini Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebelum dihantar kepada Pihak Berkuasa Negeri pada Ogos depan untuk tujuan memperoleh kelulusan akhir.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memberi respons itu dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 18 Jun 2025.
“Pameran awam bagi RTSP 2030 sudah habis, dan menerima lebih 4,000 kes (bantahan dan pandangan awam),” responsnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Ketika ini juga, Mooi Lye memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah melantik konsultan berwajib dan masih dalam proses penyediaan dokumen perancangan fizikal rasmi seperti RTSP 2030 dengan kerjasama pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Difahamkan, tujuan penyediaan dokumen perancangan fizikal rasmi oleh kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) antara lain adalah untuk memenuhi keperluan mengadakan pameran awam serta mendapatkan pandangan dan bantahan daripada semua pihak berkepentingan.
Cadangan guna tanah masa depan meliputi projek perumahan, perindustrian dan hijau; pengezonan pembangunan peringkat lokal; serta projek-projek infrastruktur antara inti induk yang penting dalam dokumen perancangan fizikal rasmi seperti RTSP 2030.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI