SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan khasnya, atas usaha membekalkan perumahan mampu milik, memperkukuh infrastruktur serta memperkasa kesejahteraan komuniti di negeri ini.
“Kehadiran Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim pada hari ini mencerminkan komitmen tinggi terhadap pembangunan negeri Pulau Pinang.
“Malah, ia turut menjadi simbol sokongan padu ke arah pelaksanaan agenda pembangunan perumahan yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan rakyat,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Rumah Bakat Madani yang disempurnakan oleh Anwar di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; barisan Exco Kerajaan Negeri; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam memperkasa agenda perumahan rakyat bagi memastikan setiap keluarga, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana rendah (M40) mempunyai akses kepada kediaman yang mampu dimiliki serta memenuhi keperluan kehidupan moden dari segi keselamatan, kemudahan asas dan persekitaran yang harmoni.
“Maka, diharapkan projek pembangunan ini berjalan dengan lancar dan menepati jadual serta dapat menyediakan perumahan berkualiti,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Mengambil kesempatan sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat sama dalam pembangunan Rumah Bakat Madani termasuk pihak pemaju.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berhasrat menyediakan yang terbaik buat rakyat Seberang Jaya dan Pulau Pinang secara keseluruhannya.
“Saya berharap projek ini akan menempatkan penduduk daripada pelbagai kaum, sejajar dengan hasrat kita untuk membina sebuah komuniti yang majmuk dan inklusif.
“Oleh itu, adalah diharapkan syarikat pemaju hartanah Skyworld Development Berhad (Skyworld) berupaya memberi fokus terbaik dalam menyiapkan projek pembinaan Rumah Bakat Madani mengikut jangka masa yang telah ditetapkan,” ujarnya lanjut.

Berucap pada majlis sama, Kor Ming menyatakan bahawa Projek pembangunan Rumah Bakat Madani di Pulau Pinang melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi projek perumahan mampu milik terbesar dalam negara setakat ini.
Menurut beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kerajaan Madani menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan sasaran penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2025.
“Sehingga 31 Mac 2025, sejumlah 492,360 unit (98.5 peratus) rumah daripada jumlah sasaran telah berjaya disediakan yang mana 179,769 unit telah siap dibina, sedang dibina (235,862) dan sedang dirancang (76,729) di seluruh negara.
“(Di Pulau Pinang), Rumah Bakat Madani ini bakal menyediakan sebanyak 37,368 unit kediaman, merangkumi 6,368 unit di Seberang Jaya (keluasan tanah 34.04 ekar) dan 31,000 unit di Bandar Cassia, Batu Kawan (161.5 ekar),” ulasnya lanjut.
Mengulas mengenai pembangunan Rumah Bakat Madani di Pulau Pinang, Kor Ming memaklumkan bahawa ia merupakan projek perumahan pertama dalam negara yang dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) 3D dikenali sebagai Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC).
“Unit-unit modular rumah ini akan dibina dan dicat sepenuhnya di kilang sebelum dihantar ke tapak untuk dipasang, yang mana ia dapat memendekkan tempoh pembinaan serta meningkatkan kualiti kerja,” katanya.
Difahamkan, Rumah Bakat Madani dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang badminton dan ‘pickleball’, surau, dewan serba guna serta taman permainan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM13 bilion. Ia dijual pada harga antara RM225,000 hingga RM420,000, bersaiz 900kp kaki dilengkapi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN