Rumah ibadat bukan Islam diseru sahut saranan kurangkan jejak karbon, pasang panel solar

Admin

BAYAN LEPAS – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di dalam negara yang memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dengan anak syarikat Tenaga Nasional berhad (TNB) iaitu TNB Renewables Sdn. Bhd. dalam usahanya mempraktiskan amalan hijau serta menjamin sumber tenaga yang lebih lestari.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, melalui perjanjian tersebut tiga bangunan milik MBSP telah dikenal pasti untuk pemasangan panel solar secara percuma oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Melalui pemeteraian MBSP dengan perbadanan utiliti nasional tersebut pada pertengahan tahun ini, sebanyak tiga bangunan milik MBSP telah dikenalpasti iaitu Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betik, Kompleks Sukan Jalan Betik dan juga Kompleks Sukan Bertam untuk pemasangan panel solar.

“Pemasangan panel solar di ketiga-tiga lokasi ini tidak membabitkan sebarang kos kepada pihak MBSP, melalui SARE ini juga… sebanyak 31 bangunan pentadbiran lain turut dalam proses pengenalpastian untuk pemasangan panel solar di kawasan Seberang Perai,” ujarnya ketika hadir merasmikan Perayaan 550 Tahun Sri Guru Nanak Dev Ji’s di Gurdwara Sahib Bayan Baru di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Gurdwara Sahib Bayan Baru, Datuk Seri Chet Singh Ji, Manjeet Singh Ji (Presiden Gurdwara Sahib Bayan Baru) dan Gurmit Kaur (balu mendiang Karpal Singh).

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa di bahagian pulau, pemasangan panel solar telah dipasang di Pasar Chowrasta melalui peruntukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Melalui SARE, 12 bangunan MBPP telah dikenalpasti dan dijangka pemasangan akan dibuat seawal tahun hadapan, manakala 15 kawasan lagi sedang dikenalpasti di bawah inisiatif sama,” ujarnya lanjut.

Sebelum itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut memuji inisiatif pentadbiran Gurdwara Sahib Bayan Baru yang memasang panel solar berkapasiti 18.00 KwP.

“Pemasangan ini bukan sahaja sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri ke arah sebuah negeri hijau tetapi menjayakan Visi Penang2030.

“Melalui pemasangan ini, dianggarkan sejumlah RM1,100 bil elektrik dapat dijimatkan iaitu kos ini dapat membiayai keseluruhan bil elektrik bulanan gurdwara ini,” kata Jagdeep sambil menyeru lebih banyak rumah-rumah ibadat mengikut jejak langkah berkenaan dalam usaha mengurangkan jejak karbon.

Dalam pada itu, difahamkan bahawa kos keseluruhan pemasangan panel solar berkenaan bernilai RM75,000, di mana RM25,000 adalah hasil sumbangan orang ramai, manakala bakinya (RM50,000) masih tertunggak.

Jagdeep dalam ucapannya, memohon pihak pengurusan gurdwara agar membuat permohonan rasmi di bawah peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi menampung kos tersebut.

“Bukan sahaja gurdwara ini boleh memohon, malah rumah-rumah ibadat lain selain Islam boleh membuat permohonan sama di bawah peruntukan RIBI untuk pemasangan solar panel, dan kita akan cuba pertimbangkan,” ujarnya lanjut.

 

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI