MBSP perbaharui ikrar tingkat integriti perkhidmatan

SEBERANG JAYA – Kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini memperbaharui lafaz ikrar bagi meningkatkan integriti dalam penyampaian perkhidmatannya.

Bacaan lafaz ikrar diketuai oleh Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod bersempena Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat MBSP dekat Auditorium Menara Bandaraya, di sini pagi tadi.

MBSP buat pertama kalinya memperkenalkan pemakaian lencana integriti kepasda anggota-anggota penguatkuasaan bagi meningkatkan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatannya.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, integriti dapat ditingkatkan apabila semua perkhidmatan yang disampaikan MBSP memenuhi tiga kriteria utama iaitu jelas, pantas dan mudah.

Katanya, gejala rasuah tidak akan berlaku sekiranya semua perkhidmatan yang disampaikan MBSP memenuhi ketiga-tiga kriteria berkenaan.

“Di MBSP kita laksanakan Persijilan ISO bagi tujuh perkhidmatan teras demi meningkatkan kecekapan dan ketelusan perkhidmatan kepada penduduk Seberang Perai.

“Kita juga mengambil peluang menerokai Revolusi Industri 4.0 dalam projek bandar pintar dengan melancarkan Kaunter Siber yang menawarkan 10 daripada 132 perkhidmatan yang ditawarkan MBSP melalui satu platform.

“Selain itu, MBSP juga telah menjenamakan semula Pasukan Polis Bantuan dengan tawaran kenaikan pangkat yang mana kita merupakan agensi kedua di negeri ini memberikan pemakaian pangkat kepada anggota penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan.

Kakitangan MBSP melafazkan ikrar integriti dengan penuh semangat.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Ketua-ketua Jabatan dan Penolong Pengarah; pegawai-pegawai kanan; Pengerusi ANULE Seberang Perai, Mohd. Tahir Othman; Naib Yang Dipertua PESUKA, Mat Nasir Hassan; Yang Dipertua PERMAI, Mohamad Nizam Md. Shariff dan Pengerusi KOSPEMA, Latifa Razali.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, pihaknya juga menjalankan program Transformasi Minda bagi memberikan pendedahan mengenai dasar-dasar kerajaan dan kaedah penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

“Terbaru, kita perkenalkan pemakaian lencana integriti kepada anggota penguatkuasaan sebagai usaha meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan.

“Pada tahun depan, kita juga akan wujudkan Pelan Integriti Majlis Seberang Perai melalui penubuhan Unit Integriti (MBSP) untuk menerangkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan tahap integriti,” ujranya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS