GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh agenda perumahan rakyat menerusi pelaksanaan polisi perumahan mampu milik di bawah jenama Rumah MutiaraKu (RMKu), dengan sasaran pembinaan sebanyak 220,000 unit rumah menjelang tahun 2030.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, sehingga kini kira-kira 178,000 unit perumahan direkodkan sama ada telah siap dibina, sedang dalam pembinaan mahupun telah diluluskan.
Menurut beliau, penggunaan jenama RMKu mencerminkan pendekatan lebih inklusif Kerajaan Negeri dalam menyediakan kediaman berkualiti kepada rakyat.
“RMKu merangkumi pelbagai kategori dengan kadar harga antara RM42,000 hingga RM300,000 bagi memenuhi keperluan kumpulan sasaran yang berbeza.
“Bagi unit berharga RM42,000, ia disasarkan kepada golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan, manakala mereka yang benar-benar berpendapatan rendah, contohnya di bawah RM1,500, akan ditempatkan terlebih dahulu di skim sewaan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya ketika sidang media di Dewan Undangan Negeri, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata bahawa Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai mekanisme bagi memastikan akses pemilikan rumah dapat dinikmati rakyat termasuk melalui kaedah sewa, sewa beli serta jual beli konvensional.
“Bagi golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank atau tidak mempunyai dokumen lengkap, skim sewa beli atau ‘rent-to-own’ diperkenalkan sebagai alternatif.
“Sebagai contoh, bagi unit RM42,000, penyewa hanya perlu membayar sekitar RM250 sebulan dan selepas tempoh kira-kira 15 tahun, rumah tersebut akan menjadi milik mereka.
“Malah, Kerajaan Negeri turut melaksanakan polisi membeli semua unit perumahan berharga bawah RM100,000 menerusi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi memastikan pengagihan rumah dapat dilakukan secara lebih tersusun kepada golongan layak,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.
Dalam perkembangan sama, unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) berfungsi sebagai penempatan sementara kepada rakyat dengan tempoh penempatan sekitar tiga hingga enam tahun sebelum penghuni beralih kepada skim pemilikan lain seperti sewa beli atau pembelian terus.
“Matlamat kita bukan sekadar menyediakan tempat tinggal sementara, tetapi membantu rakyat meningkatkan kedudukan ekonomi mereka sehingga mampu memiliki rumah sendiri.
“Pelaksanaan polisi perumahan negeri setakat ini menunjukkan perkembangan positif dan menerima sambutan baik daripada rakyat kerana kepimpinan negeri sentiasa memastikan ketelusan maklumat serta memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan berkaitan program tersebut,” ujarnya.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT