Saling hormat untuk hidup dalam erti kata kemerdekaan – KM

Gambar : SHUM JIAN WEI

MERIAH… Sempena sambutan Hari Malaysia Ke-51 Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengingatkan rakyat negeri ini supaya saling menghormati antara satu sama lain sekiranya mahu hidup dalam erti kata kemerdekaan, bebas daripada penjajah dan hidup dengan penuh bermaruah.

Katanya, pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘tak kenal maka tak cinta’.

“Justeru, marilah kita semua berusaha supaya setiap kaum di Malaysia dapat mengenali antara satu sama lain serta saling berkongsi budaya, ilmu  pengetahuan, bahasa dan lain-lain bagi mewujudkan perpaduan,’’ ucapnya pada majlis sambutan berkenaan di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Menyerikan majlis tersebut adalah kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas serta isteri, Toh Puan Majimor Shariff. Turut hadir, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Selain tarian tradisional pelbagai etnik Sabah dan Sarawak, pertunjukkan bunga api turut menggamit suasana malam sambutan berkenaan.