Sasar 10% NRE menjelang 2030, projek ladang solar terapung akan diteroka – Exco

Admin
img 9735 ZAIRIL Khir Johari dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan MPSEA Solar Roadshow 2025 di Hotel Marriott pada 29 Julai 2025.

PULAU TIKUS – Pulau Pinang menyasarkan kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui (NRE) sebanyak 10 peratus dalam campuran tenaga elektrik menjelang tahun 2030, kata Zairil Khir Johari hari ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital itu berkata, sasaran tersebut adalah selari dengan sasaran nasional untuk mencapai kapasiti terpasang NRE sebanyak 70 peratus dalam campuran tenaga elektrik menjelang 2050.

Beliau memberitahu perkara itu dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan MPSEA Solar Roadshow 2025 di Hotel Marriott pada 29 Julai 2025.

“Di Pulau Pinang, masalah kita adalah (nilai) tanah itu mahal, jadi, kalau nak buat padang solar atas tanah itu suatu kos yang agak mahal.

“Justeru, membina ladang solar terapung di kawasan berair dekat empangan merupakan salah satu opsyen, juga kawasan perairan di sekeliling Silicon Island.

“Ladang solar terapung ini bukan projek yang mudah, mesti mengikut skim-skim yang dipersetujui dengan penglibatan pihak-pihak berkenaan… seperti Suruhanjaya Tenaga dan TNB (Tenaga Nasional Berhad).

“Di bawah Suruhanjaya Tenaga, ada beberapa skim yang mana mereka yang mahu melaksanakan projek ladang solar terapung ini perlu partisipasi dengan skim-skim yang disediakan ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Zairil memberitahu ketika ini Pihak Berkuasa Negeri belum ada garis masa yang terperinci untuk memacu inisiatif mewujudkan ladang solar terapung sungguhpun di negeri sejak 2024 mengguna pakai Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang (PEF).

Pun begitu, menurutnya lagi, sektor swasta – seperti Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) – sebenarnya lebih mudah untuk memacu sendiri projek ladang solar jika mempunyai hartanah dan tanah yang sesuai, untuk kegunaan sendiri.

Selain Zairil, turut berucap pada majlis tersebut sebelum itu adalah Presiden Persatuan Industri Fotovoltaik & Tenaga Lestari Malaysia (MPSEA), Justin Lim.

Pada majlis sama, Zairil turut menyaksikan Justin Lim dan Presiden Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA), Dr. Renard Siew memeterai perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan sempena berlangsungnya MPSEA Solar Roadshow 2025 di sini tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN