Sasar 150 pasukan sertai pertandingan bola keranjang Piala Air Putih 2.0, pendaftaran dibuka

Admin
whatsapp image 2025 08 11 at 16.26.57 a193c7a1

AIR PUTIH – Penganjuran Pertandingan Bola Keranjang Piala Air Putih 2.0 menyasarkan penyertaan sebanyak 150 pasukan melibatkan belia dari seluruh Pulau Pinang.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berkata, kejohanan kali ini disasarkan menarik penyertaan sekurang-kurangnya 150 pasukan atau sekitar 600 peserta, tidak termasuk pegawai dan pengadil.

 

“Jumlah kehadiran keseluruhan dijangka mencecah 700 orang termasuk ahli keluarga dan penyokong.

 

“Pertandingan dijadualkan berlangsung pada 1 November 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu bagi kategori bawah 8 tahun (U8), bawah 10 tahun (U10) dan bawah 12 tahun (U12).

 

“Manakala, pada 8 dan 9 November 2025 di Prangin Mall untuk kategori bawah 15 tahun (U15), bawah 18 tahun (U18), bawah 21 tahun (U21) dan terbuka.

 

poster rasmi pendaftaran
POSTER rasmi pendaftaran Pertandingan Bola Keranjang Piala Air Putih 2.0.

 

“Tarikh pendaftaran telah dibuka sekarang agar lebih ramai peserta mendaftar sebelum tarikh tutup pada 1 Oktober 2025 ini,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Dato’ Cheok Lay Leng dan barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat serta penaja.

 

Menurut Guan Eng, kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM1,500 untuk juara.

 

“Hadiah disediakan untuk lapan pasukan teratas, berbanding hanya tiga pasukan pada edisi sebelum ini,” katanya yang berharap kejohanan ini dapat memupuk minat belia terhadap sukan bola keranjang dan melahirkan bakat baharu dalam sukan tersebut.

 

Dalam perkembangan berbeza, Guan Eng memaklumkan bahawa Pusat Transformasi Bandar (UTC) Penang Central di Butterworth akan mula beroperasi pada 1 Oktober ini, selepas majlis pelancaran yang dijadualkan pada 30 September 2025.

 

“Permintaan terhadap perkhidmatan UTC amat tinggi maka dengan adanya UTC Penang Central, saya yakin ia dapat memenuhi keperluan orang ramai termasuk pada hujung minggu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

 

Teks & Gambar: M. DANESWARAN