GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyasarkan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir seramai 150,000 dalam bidang kejuruteraan dan teknikal menjelang 2030.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat itu, sasaran tersebut adalah sejajar dengan kemajuan pesat sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan pada 2024.
“Dengan sokongan kepimpinan negeri, pelaburan strategik dan pembangunan tenaga kerja tempatan, sasaran ini realistik dan mampu dicapai,” katanya.
Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi turut menegaskan bahawa negara perlu bergerak lebih pantas menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan digital untuk kekal berdaya saing.
“Perkembangan teknologi global yang bergerak pada kadar sangat pantas menuntut setiap negeri termasuk Pulau Pinang untuk memastikan dasar, latihan dan pembangunan bakat sentiasa seiring keperluan industri semasa,” jelasnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS