Sasar tanam 100,000 pokok pinang menjelang Oktober

Admin
img 1574

BERTAM— Pulau Pinang menyasarkan untuk menanam sebanyak 100,000 pokok pinang menjelang sambutan Hari Landskap Negara pada Oktober ini.

img 1576

Menurut Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo penanaman tersebut merupakan satu usaha mengembalikan simbolik dan warisan nama negeri Pulau Pinang itu sendiri.

“Inisiatif besar-besaran ini akan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

“Pokok pinang pun dilihat semakin berkurangan dan seolah-olah tidak lagi mencerminkan nama negeri kita.

“Justeru, kami berhasrat menanam lebih 100,000 pokok pinang pelbagai spesies  sebagai usaha mengembalikan simbolik nama negeri kita,” ujarnya pada Majlis Peluncuran Penanaman Pokok Pinang Sempena Hari Landskap Negara Tahun 2025 di Vision Park, Bertam di sini pagi tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli Majlis MBSP, Zainuddin Mohamed; Pengarah Jabatan Landskap MBSP, Shaqhrony Yusoff serta kakitangan-kakirangan MBSP terlibat.

img 1572

Sebagai permulaan sebanyak 50 batang pokok pinang dengan nama saintifiknya areca catechu di tanam sekitar Vision Park.

Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menambah, penanaman akan dilakukan di pelbagai lokasi strategik termasuk di tepi jalan dan kawasan lapang.

“Saya bersama Datuk Bandar dan Pengarah Jabatan Landskap MBPP akan memastikan pokok-pokok ini ditanam di setiap sudut yang sesuai.

“Ini termasuk pelbagai spesies pokok pinang, bukan sekadar jenis yang boleh dimakan sahaja, tetapi juga yang bersifat hiasan sempena Hari Landskap Negara nanti,” jelasnya.

“Saya optimis perkara ini mampu direalisasikan dengan rekod terdahulu menunjukkan 1.2 juta pokok pernah ditanam dalam tempoh sehari, maka sasaran 100,000 pokok pinang juga dapat dicapai menjelang Oktober,” katanya lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI