Sasaran realistik baharu 220,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030, umum Exco

SUNGAI PINANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo meletakkan sasaran baharu sejumlah 220,000 rumah mampu milik (RMM) dibina menjelang tahun 2030 agar realistik dengan persekitaran ekonomi dan permintaan semasa.

Sasaran tersebut meliputi, rumah kos rendah (RMM A) dan kos sederhana rendah (RMM B) dan RMM yang meliputi tiga kategori RMM C1 (harga maksimum RM150,000), C2 (RM200,000) dan C3 (RM300,000).

Jelasnya, sasaran baharu tersebut merupakan pertambahan sebanyak 20 peratus daripada sasaran sedia ada sebelum penularan pandemik COVID-19 iaitu 180,000 RMM menjelang tahun 2030.

“Sasaran baharu ini mengambil kira impak ketidaktentuan ekonomi. persekitaran kehidupan yang mencabar dan situasi semasa yang masih membimbangkan akibat daripada penularan wabak COVID-19 hingga menjejaskan keadaan ekonomi kita.Sasaran baharu ini akan dicadangkan ke peringkat Mesyuarat Exco.

“Dengan keadaan semasa akibat daripada COVID-19, rumah-rumah yang dibina berharga ratusan dan jutaan ringgit, siapa yang mampu untuk membelinya… sedangkan untuk meneruskan kehidupan harian pun ada yang masih berkira-kira untuk makan.

“Sesungguhnya pembangunan di Pulau Pinang amat diperlukan supaya menambah bekalan RMM sekaligus kebajikan rakyat terus terjaga.

“Justeru menjelang tahun 2030 dan masih berbaki 10 tahun lagi, kita (Kerajaan Negeri) percaya permintaan terhadap RMM sentiasa ada dan dengan itu saya telah menetapkan sasaran baharu menjadikan jumlah keseluruhan RMM yang bakal dibina pada 2030 di Pulau Pinang adalah sebanyak 220,000,” tegas beliau pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik B Arte3 dekat Jelutong di sini pagi tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

Projek RMM B Arte3 di sini dimajukan oleh Duta Mas (Air Mas Group) mempunyai keseluruhan 158 unit dan turut dilengkapi dengan kemudahan surau, dewan serbaguna, tiga bilik bacaan dan pejabat pengurusan.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memaklumkan bahawa terkini 107,000 pelbagai unit RMM telahpun, sedang dan akan dibekalkan kepada rakyat Pulau Pinang.

“Sejak tahun 2008, sejumlah 33,847 perumahan RMM A, RMM B dan RMM telah siap dibina, 20,721 unit (pelbagai peringkat pembinaan) dan 52, 174 (telahpun diluluskan untuk dibina) yang membawa kepada angka besar sebanyak 106, 742 unit keseluruhannya sehingga kini,” maklum beliau.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: TAN KEAN MING