Saya ‘sokong’ KM, Pakatan Harapan – Salleh Man

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SHUM JIAN WEI

 

GEORGE TOWN – Dato’ Mohd. Salleh Man berkata beliau akan terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, kerana kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei 2013 lalu adalah atas semangat Pakatan Rakyat.

Ketegasan Mohd. Salleh itu sekaligus menolak laporan berita akhbar bahasa Inggeris, New Straits Times (NST) pada 31 Oktober lepas yang bertajuk, ‘Penang PAS rep ‘won’t support state govt’.

“Saya tidak pernah ditemuramah oleh mana-mana wartawan dari NST…apa yang dilaporkan oleh akhbar tersebut adalah fitnah liar semata-mata.

“Saya akan terus menyokong Y.A.B. Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang Pakatan Harapan dan akan membela beliau dan Kerajaan Negeri sebagai Ahli Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya pada sidang media bersama-sama Guan Eng dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) turut sertai sidang media tersebut.

Justeru, Mohd. Salleh mendesak NST supaya menarik balik laporan berita tersebut dengan kadar segera.

Guan Eng dalam reaksi spontan selepas itu menjelaskan kedudukan Mohd. Salleh yang masih memilih untuk kekal bersama-sama Pas, di sisi Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

“Beliau adalah rakan secara pentadbiran (di bawah) Pakatan Harapan dan beliau turut mempertahankan Pakatan Harapan dan juga diri saya sendiri.

“Beliau sebahagian daripada Kerajaan dan kehadirannya pada hari ini adalah bukti,” ujar Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Mohd. Salleh merupakan ADUN Permatang Pasir dan masih dalam lantikan sebagai Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), sungguhpun Pas telahpun memutuskan hubungan politik dengan DAP dan Guan Eng sendiri.