SDCC perkukuh keupayaan bersepadu Pulau Pinang tangani bencana – Ketua Menteri

Admin
4c1afceb c53b 490f 8c66 e8dcf1911255 (Dari kiri) LIM Siew Khim, Zulkifli Long, Ketua Menteri dan Hussain Moh merakamkan gambar kenang-kenangan di Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) Pulau Pinang di Tingkat 7, KOMTAR pada 14 Oktober 2025.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Bilik Gerakan Negeri yang siap dinaik taraf menjadi Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) akan meningkatkan lagi keupayaan teknikal dan logistik bagi menghadapi situasi kecemasan di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang tidak terkecuali daripada ancaman bencana alam.

“Pusat ini akan memastikan proses mengagihkan sumber serta menempatkan aset lebih efisien semasa berlaku bencana,” jelasnya seusai merasmikan SDCC di sini pada 14 Oktober 2025.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Hussain Moh turut sertai majlis tersebut.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa menerusi SDCC juga diharap dapat mengintegrasikan maklumat, sistem kawalan serta sumber tenaga sedia ada di bawah agensi-agensi berkaitan.

“Saya percaya Datuk Seri Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dapat melakukan satu tugas khusus iaitu mengintegrasikan (perkhidmatan dan logistik) agensi-agensi berkaitan sebab kita (Pihak Berkuasa Negeri) tahu mereka ada sistem Komunikasi, pengumpulan data dan sebagainya.

“Misalnya, saya pernah merasmikan pusat di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mana mereka ada sistem pemantau keadaan banjir mengikut masa sebenar,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dengan NADMA memainkan peranan peringkat Persekutuan, beliau percaya SDCC dapat memainkan peranan peringkat negeri bagi mengintegrasikan semua agensi berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan menjelang peralihan Monsun Timur Laut yang bermula pertengahan November sehingga Mac 2026.

“(Menjelang) masuk peralihan monsun ke Monsun Timur Laut, mengikut rekod terdahulu, September, Oktober dan November adalah bulan-bulan yang taburan hujan adalah agak banyak di negeri Pulau Pinang.

“Pada bulan-bulan ini kita akan berada pada tahap siap siaga… cabaran seterusya adalah (siap siaga) menghadapi bulan November dan Disember,” ulasnya lanjut.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow memberitahu bahawa ketika ini, terdapat terdapat 389 pusat pemindahan sementara (PPS) di kelima-lima daerah iaitu 117 Daerah Timur Laut, Barat Daya (34), Seberang Perai Utara (140), Seberang Perai Tengah (75) dan Seberang Perai Selatan (23).

Ketika ini juga, beliau menyatakan bahawa terdapat 53 hotspot banjir di seluruh Pulau Pinang iaitu 10 di Daerah Timur Laut, Barat Daya (13), Seberang Perai Utara (6), Seberang Perai Tengah (18) dan Seberang Perai Selatan (6).

“Definisi hotspot banjir adalah banjir tiga kali atau lebih dalam tempoh tiga tahun belakangan ini.

“Sehingga bulan Oktober 2025, berapa (kekerapan dan hotspot) dilanda banjir tidak diketahui, tetapi daripada angka agihan bantuan yang disalurkan, kita (Pihak Berkuasa Negeri) boleh membayangkan tahap keseriusan atau sebaliknya di negeri ini.

“Kerajaan Negeri memperuntukan RM2 juta, daripada peruntukan ini, kita hanya membelanjakan RM270,000 untuk agihan bantuan kepada mereka yang layak, yang mana di dua daerah langsung tidak ada perbelanjaan (diagihkan).

“Ini menggambarkan dalam tempoh satu dua tahun ini, insiden banjir di negeri Pulau Pinang boleh didapati sudah berkurang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dalam tempoh 10 hingga 15 tahun belakangan ini memang senantiasa melaksanakan projek tebatan banjir serta menaik taraf sistem perparitan sedia ada bagi mengurangkan risiko bencana di kawasan-kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Pada ketika ini ada 14 projek tebatan banjir sedang dilaksanakan… dalam Bajet 2026 pun ada satu projek di Sungai Nyiur… semua projek ini menelan belanja kira-kira RM1 bilion yang mana banyak peruntukan Pusat kepada JPS negeri.

“Dengan projek-projek tebatan banjir ini, ia dapat mengurangkan impak di hotspot banjir,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS