Sebarang aduan, cadangan tukar nama jalan kampung perlu dipanjangkan ke pejabat daerah – Exco

Admin
whatsapp image 2025 11 18 at 10.54.13

GEORGE TOWN – Wakil-wakil rakyat atau ketua-ketua komuniti seperti Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disarankan untuk memanjangkan aduan atau cadangan berhubung pertukaran nama jalan kampung yang dianggap tidak sesuai kepada pejabat daerah dan tanah masing-masing.

Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol berkata, perkara tersebut adalah selaras dengan Garis Panduan Penentuan Nama Geografi Malaysia Edisi Tahun 2025 yang diguna pakai sebagai sumber rujukan utama dalam penentuan nama-nama jalan di negeri ini.

Garis panduan ini menjadi sumber rujukan kepada Jawatankuasa Negeri Nama Geografi (JNNG) yang mana ia disediakan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi (JKNG) di bawah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Selain itu, Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Tahun 2018 turut digunakan sebagai sumber rujukan dalam penentuan nama geografi tertentu,” ujarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 18 November 2025.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Muhamad Kasim berhubung wujudnya nama jalan-jalan kampung yang tidak berasas dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk.

Rashidi yang juga ADUN Sungai Acheh menjelaskan bahawa, nama sesuatu jalan adalah termasuk dalam kategori nama geografi iaitu kata nama khas atau istilah yang digunakan untuk mengenal pasti sesuatu identiti sama ada secara semula jadi atau buatan manusia yang mempunyai nilai budaya tersendiri.

“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai penanda lokasi tetapi turut mencerminkan identiti warisan dan budaya masyarakat setempat di sesuatu kawasan dan ia penting dalam sistem komunikasi.

“Oleh itu, bagi tujuan tadbir urus pengurusan nama geografi peringkat negeri terdapat dua jawatankuasa yang ditubuhkan iaitu JNNG dan Jawatankuasa Teknikal Nama Geografi (JTNG) yang bertujuan menyelaras dan menentukan nama geografi termasuk jalan kampung.

Berdasarkan garis panduan sedia ada, ahli-ahli JNNG dan JTNG yang terdiri daripada wakil semua pejabat daerah dan tanah akan mempertimbangkan sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bagi kelulusan.

“Kelulusan nama tersebut pula, perlu digazetkan bagi mengesahkan statusnya berdasarkan perundangan dan dikira sebagai nama rasmi,” katanya.

Selain itu, Rashidi memaklumkan bahawa maklumat kelulusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada JKNG bagi tujuan pengemaskinian dalam Pangkalan Data Nama Geografi (PDNG) dan Gazetir Kebangsaan.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: ALISSALA THIAN