Sedia bantu penduduk setinggan miliki rumah melalui Skim RTO – Exco

Admin
whatsapp image 2026 08 27 at 14.21.03

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedia membantu penduduk di kawasan setinggan di atas tanah swasta untuk memiliki rumah dengan syarat penduduk memberi kerjasama sepanjang proses tersebut.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, masih terdapat kawasan setinggan di negeri ini yang melibatkan penduduk yang mendiami tanah milik persendirian.

“Meskipun isu berkenaan melibatkan penduduk dan pemilik tanah, Kerajaan Negeri sedia membantu penduduk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memiliki rumah, dengan syarat mereka memberikan kerjasama sepanjang proses tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Surat Tawaran dan Cabutan Undi bagi Rumah MutiaraKu (RMKU) Jenis A berharga RM42,000 menerusi Skim Sewa Beli (RTO) di Projek Rumah Pangsa Pektra Indah, Simpang Ampat yang diadakan di Komtar pagi ini.

whatsapp image 2026 08 27 at 14.21.04

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Khairulnizam Hashim; Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Nibong Tebal, Nurhidayah Che Ros dan Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Bakap, Abd. Rahim Ahmad.

Mengulas lanjut, Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan agenda perumahan bagi memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40), mempunyai akses kepada kediaman yang berkualiti serta mampu dimiliki.

Kita memahami bahawa memiliki rumah pada hari ini bukanlah suatu perkara yang mudah berikutan peningkatan kos sara hidup, harga hartanah dan keperluan kewangan lain yang menjadi cabaran kepada rakyat, khususnya golongan muda serta keluarga yang baru membina kehidupan.

“Sesungguhnya, agenda perumahan Kerajaan Negeri bukan hanya mengenai penyediaan unit rumah, tetapi juga memastikan setiap keluarga mempunyai peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih stabil dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peluang pemilikan rumah menerusi skim RTO merupakan antara pendekatan penting Kerajaan Negeri untuk membantu golongan yang belum bersedia dari segi kewangan membeli rumah melalui kaedah konvensional.

“Kerajaan Negeri tidak mahu rakyat Pulau Pinang hanya mempunyai pilihan untuk menyewa tanpa hala tuju untuk memiliki rumah.

“Sebaliknya, kita mahu menyediakan laluan yang jelas daripada penyewaan kepada pemilikan rumah.

Inilah antara pendekatan penting yang diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan skim RTO bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah turut membuka peluang kepada rakyat untuk memiliki kediaman sendiri pada masa hadapan.

“Justeru, saya berharap kesemua penerima surat tawaran pada hari ini dapat menghargai peluang yang diberikan serta memahami terma dan syarat di bawah skim RTO, termasuk tanggungjawab terhadap pembayaran dan penyelenggaraan kediaman,” katanya.

whatsapp image 2026 08 27 at 14.21.04 (1)

Difahamkan, menerusi skim tersebut, penerima perlu membayar RM240 sebulan bagi tempoh 14 tahun, diikuti bayaran RM140 sebulan untuk tempoh setahun sebelum berpeluang memiliki unit kediaman berkenaan sepenuhnya.

Pada majlis sama, Sundarajoo turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri Fadhlina Sidek turut membantu menanggung bayaran deposit bekalan elektrik dan air bagi penerima yang terlibat.

whatsapp image 2026 08 27 at 14.21.05

Terdahulu, seramai 14 penduduk yang sebelum ini tinggal di kawasan Kampung Makam Suah, Sungai Bakap hadir menerima surat tawaran dan mengambil bahagian dalam sesi cabutan undi bagi pemilihan unit kediaman di tiga blok Rumah Pangsa Pektra Indah.

 

 

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS